Tapah seberat 67 kg dijual RM2,680

Tapah seberat 67kg dijual RM2,680

SABARUDDIN Abu Bakar (kanan) dibantu rakannya menaikkan ikan tapah seberat 67 kilogram ke daratan di Kampung Kuala Tahan di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seorang nelayan Sungai Tembeling meraih keuntungan lumayan apabila memperoleh tangkapan seekor ikan tapah seberat 67 kilogram di Kuala Tahan di sini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, nelayan tersebut, Sabaruddin Abu Bakar berkata, dia turun ke Sungai Tembeling sambil berdoa mengharapkan rezeki hasil tangkapan yang lumayan untuk dijual bagi menampung perbelanjaan keluarga.

“Saya turun ke sungai semalam dengan memasang beberapa batang taut menggunakan umpan keli di kawasan tebing dan kebiasaannya berdekatan lubuk tempat ikan berkumpul.

“Sememangnya sebagai nelayan sungai seperti juga penduduk sepanjang Sungai Tembeling, kita tidak kisah apa jenis ikan yang diperoleh asalkan boleh dijual dan juga bagi makanan keluarga,” katanya di Kuala Tahan di sini semalam.

Menurut Sabaruddin, ketika menjengah pada taut dipasangnya, dia mendapati bunyi air kuat berkocak serta nampak seekor ikan bersaiz besar bergumpal di permukaan cuba melepaskan diri.

“Saya agak terkejut serta menduga keadaan ini sudah tentu ikan bersaiz besar malah kemudiannya sudah tahu seekor ikan tapah berasaskan nampak ekor dan badannya ketika bergumpal di permukaan air,” katanya.

Katanya, dia berhati-hati menarik ikan tapah ke atas tebing yang tersangkut di mata taut umpan ikan keli supaya ‘rezeki’ itu tidak terlepas semula ke air.

Katanya, buat pertama kali berjaya menangkap ikan sebesar saiz ‘anak lembu’ lalu dibawa pulang ke rumah untuk ditimbang sambil mencongak pendapatan apabila dijual nanti.

“Setelah ditimbang mendapati ikan tapah ini seberat 67 kilogram dan ini merupakan pertama kali saya peroleh tangkapan yang sangat berat. Sebelum ini saya peroleh antara dua hingga 20 kilogram spesies ikan liar ditangkap ketika menahan taut dan memancing di Sungai Tembeling, “ ujarnya.

“Setelah dicongak, saya memperoleh RM2,680 menerusi jualan ikan tapah seberat 67 kilogram dengan harga RM40 sekilogram. Ikan ini laris apabila ramai penduduk datang berbelanja dan saya menyimpan sedikit isi Tapah untuk dimasak asam tempoyak,” katanya.

Sementara itu pemandu alam semula jadi Kuala Tahan, Roslan Abu Kassim berkata, spesies ikan liar di perairan sungai utama dan anak sungai di kawasan Ulu Tembeling antara tarikan pengunjung yang juga kaki pancing datang ke Kuala Tahan dan perkampungan pesisir Sungai Tembeling setiap hujung minggu dan hari persekolahan.

“Bagi nelayan sungai yang mempunyai lesen penangkapan di sini bergantung kepada pendapatan hasil tangkapan ikan liar bagi menyara keluarga,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN