PETALING JAYA: Tidak pernah meletakkan noktah dalam karier seninya, pelakon dan usahawan, Bkay Nair sentiasa bersedia untuk kembali aktif sekiranya mendapat watak yang bersesuaian.
Bkay atau nama penuhnya, Tryambikay Vengades, 41, berkata, dia ketika ini lebih memberi fokus kepada dunia perniagaannya dan menganggap itu sebagai salah satu cabang seni yang harus terus diteroka.
“Memang ada sahaja yang tanya, sudah berhenti berlakon ke? Belum lagi. Saya bersedia sahaja jika ada yang tawarkan watak bersesuaian. Cuma kadang-kadang, ada rasa macam dah tua untuk aktif berlakon.
“Kalau sekadar cameo atau sambilan, tidak ada masalah. Saya juga sibuk dengan perniagaan, Bkay Nair Resources. Sentiasa penuh dengan jadual acara dan program. Itu pun satu cabang seni juga.
“Sebenarnya, saya baru selesai penggambaran drama dalam talian. Komitmen pun tidaklah padat. Kalau satu atau dua hari, saya terima. Berlakon ini penat tau,”katanya.
Pelakon Ratu The Movie ini ditemui ketika Pertunjukan Fesyen Warisan Navarasa anjuran Bkay Nair Resources (BNR) baru-baru ini.
Dalam program yatersebut juga, tiga pereka fesyen menerima anugerah iaitu Pereka Terbaik (kategori pelajar), Naresh Yempati, Anugerah Pereka Kreatif, Kesheen Ragunathan dan Anugerah Malaysian Heritage Excellence yang disancang Munir Yahya.
Sementara itu, bercakap tentang program tersebut, Bkay berkata, dia mahu mengadakan pertunjukan fesyen yang menggabung seni tempatan seperti songket, batik dan sutera dengan rekaan sari.
“Kebanyakkan sari direka dan dihasilkan di India. Jadi saya mahu tampilkan kelainan dengan menyuntik elemen seni dan budaya Malaysia dalam rekaan sari. Saya berpuas hati dengan 77 rekaan pereka-pereka yang terlibat.
“Saya memang suka dengan kain songket, batik dan sutera tempatan. Perayaan Deepavali juga tidak lama lagi, ini peluang pereka untuk pamerkan busana yang mempunyai identiti Malaysia.
“Selepas ini, saya merancang untuk mengadakan lebih banyak program yang mengangkat seni dan budaya tempatan. Saya orang Malaysia kan, perlu martabat budaya dan seni kreatif tempatan,” kongsinya.