Tahan 195 PATI di penempatan haram sekitar Gelang Patah

Tahan 195 PATI di penempatan haram sekitar Gelang Patah

ANTARA pendatang asing tanpa izin yang ditahan dalam Op Sapu di kawasan penempatan haram sekitar Gelang Patah, Iskandar Puteri, Johor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan seramai 195 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi dua serbuan di kawasan penempatan haram di Gelang Patah di sini, semalam.

Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata, kesemua PATI yang ditahan dalam Op Sapu itu berusia antara 19 tahun hingga 69 tahun.

Katanya, dalam operasi sama pihaknya memeriksa seramai 641 warga asing termasuk pemegang Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNCHR).

“Hasil operasi itu, kita menahan seramai 62 lelaki warga Myanmar, 55 lelaki Bangladesh, 28 lelaki India, 26 lelaki Indonesia, lima wanita Indonesia, 16 lelaki Pakistan, dua lelaki China dan seorang warga Timor Leste.

“Kesemua ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1958/63 (Akta 155),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Baharuddin, Ops Sapu itu dijalankan pihaknya ekoran aduan awam yang diterima berhubung warga asing dipercayai tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan permit kerja di negara ini.

“Lokasi penempatan haram itu adalah bekas tapak pembinaan yang dikelilingi ladang kelapa sawit yang mana terdapat lebih 15 kontena dijadikan premis kediaman. Kesemua PATI ditahan dibawa ke Depot Imigresen Setia Tropika untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN