Tafsir al-Quran: Menteri agama nasihat Howard Lee

Tafsir al-Quran: Menteri agama nasihat Howard Lee

MOHD. Na'im Mokhtar dan Howard Lee Chuan How mengadakan perjumpaan untuk membincangkan mengenai tafsir ayat al-Quran baru-baru ini.-GAMBAR MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar dan Howard Lee Chuan How mengadakan perjumpaan selepas Ahli Parlimen Ipoh Timur itu terpalit dengan kontroversi membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran.

Mohd. Na’im berkata, Howard Lee mengunjunginya malam tadi ketika beliau berada di Perak dan beliau sudah menasihatinya untuk berhati-hati.

“Pertemuan yang sangat membina, satu persefahaman iaitu Islam tetap wajib ditegakkan di Malaysia sebagai agama Persekutuan.

“Howard Lee bersetuju dengan nasihat saya supaya lebih berhati-hati dalam mengambil petikan ayat Al-Quran agar tidak menimbulkan salah faham terutama di zaman media sosial ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, melalui sebuah video yang tular dalam media sosial, Howard Lee dikatakan menafsirkan potongan ayat daripada surah an-Nisa.

Namun, Dewan Pemuda Pas Perak membidas dan menyifatkan Howard Lee sebagai kurang ajar dan cuba melakukan memprovokasi apabila mendakwa ahli Parlimen DAP itu menjadi pentafsir kepada al-Quran dengan memutarbelitkan tafsir ayat 59 surah an-Nisa.

Sehubungan itu, Howard Lee tampil membuat permohonan maaf berikutan dakwaan beliau membuat tafsiran sendiri potongan ayat al-Quran daripada surah an-Nisa itu.

Menurutnya permohonan maaf itu diharap dapat menghentikan sebarang polemik yang tercetus sehingga mewujudkan ketegangan ekoran penularan video berkenaan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN