HULU TERENGGANU: Usaha seorang penternak dekat sini hasilkan susu masam iaitu sejenis hidangan tradisi diperbuat daripada susu kerbau yang diperam dalam buluh mampu menjana pendapatan sampingan yang lumayan.
Zakaria Ideris, 65, dari Kampung Cheting di sini berkata, dia mula mengusahakan perniagaan tersebut sejak hampir 10 tahun lalu bagi memenuhi permintaan dalam kalangan peminat minuman tersebut.
Menurutnya, hidangan tersebut turut dikenali sebagai yogurt kampung dan keluarannya semakin terhad kerana tidak ramai penduduk mengusahakannya.
Katanya, ketika ini dia dapat hasilkan antara 20 hingga 25 susu masam setiap hari daripada perahan susu tiga ekor kerbau betina peliharaannya.
“Pada mulanya, saya terlibat dalam ternakan kerbau dan lembu di Kampung Peris di sini sejak lebih 20 tahun lalu dan ketika itu susu masam mudah diperoleh kerana masih ramai pengusaha.
“Akhirnya saya hasilkan sendiri susu masam ini kerana keadaan telah berubah, makanan ini kian sukar diperoleh. Mulanya untuk makan sendiri serta ahli keluarga, tidak sangka menjadi pendapatan sampingan.
“Selain dijual terus dari rumah, susu masam ini juga dijual kepada peniaga Pasar Pagi Kuala Berang atau dipanggil Hari Gilirang pada Sabtu dan Rabu. Harga sebatang antara RM10 hingga RM13 bergantung pada saiz buluh,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Zakaria yang mesra dipanggil Pokya berkata, proses pembuatan susu kerbau masam cukup mudah kerana hanya perlukan susu kerbau dan bekas buluh namun tetap punyai pantang larang tersendiri.
“Buluh nipis atau buluh berang dicari sekitar kampung dipotong antara 15 hingga 20 sentimeter panjang perlu dibersihkan terlebih dahulu serta dipastikan kering sebelum susu kerbau segar dituang.
“Kemudiannya susu kerbau yang telah diperah daripada kerbau betina akan dituang ke dalam ruas buluh dan dibiarkan bagi tujuan peram dua hingga tiga malam sehingga beku sebelum boleh dimakan.
“Pelbagai cara peram, ada yang gantung buluh di dinding namun saya cuma biarkan atas atau bawah meja begitu sahaja tetapi dalam keadaan buluh menegak serta diikat dalam bilangan yang banyak,” katanya.
Tambah Zakaria, pantang larang paling utama dalam menghasilkan susu masam ialah tidak boleh bercampur air dan segala perkakas digunakan serta buluh perlu dipastikan betul-betul kering bagi memastikan susu membeku.
Katanya yang mempunyai keseluruhan kira-kira 50 ekor lembu dan kerbau, kebiasaannya susu kerbau masam dimakan dengan gula sebagai pencuci mulut atau dicicah dengan budu untuk dimakan bersama nasi.
“Walaupun dipanggil susu masam tetapi rasanya tidak masam, tiada juga bau hamis. Hidangan tradisi yang boleh tahan sekitar seminggu pada suhu bilik ini bagus untuk kesihatan dan usus serta punyai peminat tersendiri, ” katanya.-UTUSAN