Suami isteri buat dua kerja demi dua anak OKU

Suami isteri buat dua kerja demi dua anak OKU

NORSIDAWATY Manaf meriba Muhammad Ammar di samping Muhammad Aiman Darwisy(dua dari kanan) dan Muhammad Iman Thaqif ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Gelam, Datuk Kumbar di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sepasang suami isteri di Kampung Gelam, Datuk Kumbar di sini terpaksa me­lakukan dua kerja termasuk berniaga kecil-kecilan bagi menampung perbelanjaan mereka lima beranak termasuk dua anak istimewa.

Norsidawaty Manaf, 37, berkata, dia dan suami, Ahmad Hafiz Idris, 38, tekad membanting tulang untuk membesarkan tiga anak mereka, Muhammad Aiman Darwisy, 13, Muhammad Iman Thaqif, 9, dan Muhammad Ammar Habib, 8.

“Aiman anak orang kurang upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran, sementara Ammar pula cerebral palsy. Kedua-duanya dilahirkan demikian. Thaqif normal. Aiman membesar seperti biasa namun dari segi pembelajaran sahaja dia lambat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ammar pula perlu penjagaan rapi kerana kaki kirinya lembik. Saya bekerja sebagai juruwang di sebuah kedai menjual ayam sementara suami buat kerja kampung dan jadi penghantar barang. Waktu malam kami berniaga barang mainan,” katanya ketika ditemui di Kampung Gelam, Datuk Kumbar di sini semalam.

Menurut Norsidawaty, mereka melakukan pelbagai kerja untuk menampung per­belanjaan keluarga terutama ketika anak-anak semakin membesar.
“Sebelum ini saya suri rumah kerana perlu jaga Ammar dan suami pula kerja di sebuah kedai cenderamata. Tetapi apabila Ammar ke sekolah pendidikan khas integrasi, suami terpaksa urus dia pergi dan balik sekolah termasuk memberi makan minum Ammar di situ.

“Ammar tidak boleh menguruskan diri sendiri di sekolah dan perlu jagaan daripada ibu bapa. Jadi saya kerja sebelah siang, apabila balik kerja suami pula akan keluar bekerja jadi runner atau ambil upah buat kerja kampung,” katanya.

Kata wanita itu lagi, mereka berniaga barang mainan di pusat bandar pada sebelah malam terutama pada hujung minggu untuk menambah pendapatan.

“Kadang-kadang dapatlah untung RM40 atau RM50 semalam lepas tolak sewa. Sekarang berniaga susah kerana orang tak mahu beli sangat bukan macam dulu-dulu.

“Kami berniaga 9 hingga 12 malam dan sepanjang itu Aiman akan menjaga kedua-dua adiknya. Walaupun keadaannya begitu tetapi saya boleh harapkan dia,” katanya.

Menurutnya, dia lega  apabila Ammar mendapat bantuan lampin pakai buang daripada JKM setiap bulan yang bernilai RM500.

“Sekurang-kurangnya lepas wang untuk beli lampin Ammar. Kami sebenarnya reda dengan takdir Allah dan ikhlas semuanya. Cuma kami berharap diberikan kesihatan yang baik untuk membesarkan mereka sebaik mungkin.

“Alhamdulillah kami tak banyak komitmen dan duduk pun di rumah sendiri yang suami bina di tanah milik keluarganya dengan duit KWSP masa PKP dahulu sebanyak RM10,000,” katanya.

Mereka yang ingin membantu keluarga ini boleh menyumbang ke akaun BSN milik Ahmad Hafiz, 0210 8411 0001 0879. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×