Standard tinggi, bermaruah untuk naskhah kanak-kanak

Standard tinggi, bermaruah untuk naskhah kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM Angga Dwimas Sasongko menghasilkan filem Mencuri Raden Saleh, tidak ramai yang betul-betul peduli siapalah seniman itu walau ada satu jalan khas di Jakarta dinamakan sempena pengkarya itu. 

Namun setelah seniman Raden Saleh dan lukisannya diangkat ke layar, berpusu-pusu anak muda mengunjungi galeri dan mencari lukisan paling berharga seniman itu iaitu ‘Penangkapan Pangeran Diponegoro’. Tidak cukup itu, tiba-tiba merecup satu demi satu kumpulan anak muda yang bercakap tentang jasa Raden Saleh di Internet. 

Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan juga memberikan magis serupa. Tidak hanya menumpaskan semua filem antarabangsa dalam kategori All Time International Malaysia Box Office, malah ramai anak muda  bertanjak dan mula belajar silat selepas menonton Mat Kilau. Di platform TikTok, lagu Mentera Semerah Padi nyanyian Datuk M Nasir kembali tular mengiringi kandungan tentang silat impak daripada filem tersebut.

Dari situlah pengarah Ghaz Abu Bakar, 49, percaya bahawa apa yang dibawakan di layar boleh menumbuhkan gagasan baharu dalam pemikiran dan tindakan. Kali ini, Ghaz menyahut cabaran daripada penerbit, Astro Ceria untuk menghasilkan sebuah drama bersiri adiwira untuk kanak-kanak dalam standard antarabangsa bertajuk Super Wira.

Pemilik nama sebenar Mohd Ghazali Abu Bakar itu percaya bahawa kanak-kanak di era digital sudah terdedah dengan inovasi kecanggihan teknologi yang membuatkan mereka telah menonton naskhah dengan efek komputer yang lebih kemas dan tidak membosankan. 

Mengambil masa setahun untuk menukang plot cerita, Ghaz dan pasukannya membawakan lagenda rakyat terkenal negeri Pahang iaitu Naga Seri Gumum atau Naga Tasik Chini di dalam naskhah hasil rujukannya di Arkib Negara. 

“Kami buat kajian hingga ke Arkib Negara. Hasil daripada rujukan itulah yang kita cerap untuk menghasilkan jalan cerita yang kemas dengan lagenda tempatan. 

Fokusnya untuk mengangkat mitos dan membuatkan kanak-kanak cari tahu tentang lagenda ini seperti mana filem hero Barat yang mengangkat mitos dan kepercayaan mereka di dalam karya,

“Bukan itu sahaja, kita juga bawakan unsur tempatan seperti kostum watak utama Kapten Gemilang yang diilhamkan daripada songket. Babak pertarungan pula akan buka dengan buah silat,” katanya ketika ditemui Hits baru-baru ini. 

Dengan pengalaman mengarahkan deretan filem, drama bersiri dan video muzik, Ghaz ingin membawakan drama kanak-kanak ke standard yang lebih tinggi iaitu dengan menggunakan teknik imej janaan komputer. 

“Walaupun ada elemen tradisional, tapi kita mahu nampakkan naskhah ini sangat moden dan kehadapan. Kami menggunakan imej janaan komputer serta gerak kerja kamera. 

“Kanak-kanak hari ini pun sudah terdedah dengan teknik yang lebih moden dalam karya-karya barat. Matlamat saya agar bila penonton tengok drama ini, ia akan merubah cara pandang mereka dengan karya-karya drama animasi untuk kanak-kanak,” katanya.

Ghaz turut memilih pelakon yang berkaliber bagi menjayakan drama bersiri tujuh episod Super Wira iaitu Mira Filzah, Beto Kusyairy, Ezzaty Abdullah, Arena Wan, Idan Aedan, Nadhir Nasar dan Zizan Razak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN