Sindiket Pak Dan tumpas, polis rampas petrol dan diesel subsidi bernilai RM23,005 - Utusan Malaysia

Sindiket Pak Dan tumpas, polis rampas petrol dan diesel subsidi bernilai RM23,005

MOHD Shokri Abdullah (kanan) menunjukkan tangki yang dirampas dipercayai mengandungi cecair petrol dan diesel bersubsidi sewaktu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Polis berjaya menumpaskan sindiket Pak Dan yang dipercayai bergiat aktif dalam penyeludupan petrol dan diesel bersubsidi ke negara jiran menerusi penahanan dalang utama kegiatan itu, semalam.

Menerusi rondaan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan sekitar pukul 9 pagi itu, sepasukan anggota task force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar telah mengekori sebuah kereta jenis Proton Iswara yang disyaki mengisi petrol dan diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak melalui kawasan Padang Melangit ke Kampung Aman, Jalan Kaki Bukit, di sini.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, setelah tiba di satu kawasan kebun getah, pemandu kereta terbabit menyedari telah diekori pihak polis dan bertindak melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan tersebut.

“Dalam masa sama, pasukan rondaan telah mendapat maklumat lanjut di mana sekitar kawasan tersebut dipercayai terdapat sebuah setor yang digunakan untuk simpanan petrol dan diesel subsidi itu.

“Dan hasil siasatan lanjut pihak kami telah menemui sebuah rumah yang dijadikan setor berkenaan dan digunakan oleh pihak sindiket itu bagi melakukan kegiatan tersebut,” katanya ketika sidang akhbar di IPD Padang Besar, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shokri berkata, menerusi pemeriksaan lanjut, pihaknya telah menemukan sejumlah 980 liter petrol, 1,870 liter diesel subsidi dan beberapa barangan lain yang dirampas bernilai RM23,005.

Beliau berkata, sewaktu serbuan itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun yang dipercayai merupakan dalang utama sindiket tersebut turut ditahan untuk siasatan lanjut.

“Hasil ujian saringan ke atas suspek terlibat mendapati dia negatif dadah dan mempunyai 18 rekod lampau berkaitan kesalahan dadah,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Shokri berkata, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan membeli petrol dan diesel subsidi di stesen minyak sekitar negeri ini dan kemudiannya dihantar ke setor berkenaan untuk dijual kepada negara jiran.

Katanya, ‘runner’ yang terlibat bagi membeli petrol dan diesel subsidi di stesen-stesen minyak ini juga turut menerima upah sekitar RM0.30 bagi satu liter.

“Sindiket ini membeli petrol dan diesel mengikut harga subsidi dan kemudiannya menjual bahan bakar itu kepada pihak negara jiran dengan harga lebih rendah dari pasaran.

“Kegiatan ini juga dipercayai telah aktif sejak awal September tahun ini dan mempunyai hubungan dengan seorang lelaki dari negara jiran bagi menjual bahan kawalan itu,” katanya.

Tambahnya, kes berkenaan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Polis juga percaya masih terdapat ramai ‘runner’ yang terlibat dengan kegiatan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan buat masa ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya