Sikap pengunjung punca tandas masjid kotor - Utusan Malaysia

Sikap pengunjung punca tandas masjid kotor

PETUGAS masjid membersihkan tandas Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datuk yang kotor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Sikap pengunjung membuang dan meninggalkan sampah punca tandas di Masjid Tuminah Hamidi di sini kotor dan kelihatan tidak ter­urus.

Ketua Kampung Bagan Datuk, Ismail Ibrahim berkata, antara sampah yang dibuang dalam tandas adalah tisu, lampin pakai buang kanak-kanak, tuala wanita, sabun dan syampu rambut dan badan, malah alat solek wanita juga ditinggalkan dalam tandas.

Menurutnya, sampah yang ditinggalkan itu menyebabkan tandas menjadi kotor dan mangkuk tandas tersumbat, selain sikap pengguna yang tidak mengepam tandas selepas menggunakannya.

Katanya, ini menjejaskan imej masjid yang baru siap dan dibuka kepada pengunjung.

“Masjid ini menerima kedatangan pengunjung yang tinggi terutama pada setiap hujung minggu.

“Namun apa dikesalkan terdapat segelintir daripadanya yang tidak menjaga kebersihan masjid terutama di bahagian tandas dengan membuang dan meninggalkan pelbagai sampah menyebabkan ia menjadi kotor,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, sampah yang di­buang me­nimbulkan masalah sehingga ada tandas tersumbat.

“Ada pengunjung yang menggunakan tandas terkejut melihat keadaan tandas yang kotor dan menganggap pihak masjid tidak menjaga kebersihan tandas sedangkan ia berpunca daripada pengunjung sendiri. Ada yang kata masjid cantik, tapi tandas kotor.

“Untuk itu saya harap pengun­jung bertanggungjawab dengan bersama-sama menjaga kebersihan tandas semasa menggunakannya,” katanya.

Sementara itu, pengawal ke­selamatan masjid, Abdul Muiz Hashim berkata, perbuatan pe­ngunjung meninggalkan sampah dalam tandas tidak sepatutnya berlaku kerana tong sampah disediakan di banyak tempat di masjid.

Katanya, kerana tidak sampai hati melihat keadaan tandas yang kotor, dia dengan sukarela membantu membersihkan tandas.

“Sama-samalah kita menjaga kebersihan kawasan masjid dan tandas dengan tidak membuang sampah di merata-rata tempat.

“Jika keadaan ini berterusan, ia akan mencemarkan imej masjid ini, dari luar nampak cantik tapi tandasnya kotor.

“Saya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sini tapi tak sampai hati nak tengok tandas masjid ini kotor, jadi saya bantu bersihkan supaya tidak kotor dan berbau busuk,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya