Sikap acuh tak acuh punca 90 peratus kemalangan jalan raya

Sikap acuh tak acuh punca 90 peratus kemalangan jalan raya

LOKMAN Jamaan (tengah) memeriksa dokumen seorang pemandu bas ekspres ketika mengetuai Op Patuh Khas Kenderaan Komersial di Plaza Tol Jitra, Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Sikap acuh tak acuh atau tidak ambil peduli dalam kalangan pengguna untuk mematuhi peraturan jalan raya didapati menjadi punca kira-kira 90 peratus kemalangan berlaku di negara ini.

Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata, perbuatan tersebut mengundang kepada risiko kemalangan yang seterusnya boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

“Sikap dan perbuatan mereka ini sebenarnya yang menjadi punca berlaku kemalangan jalan raya, selain menyebabkan tindakan penguatkuasaan terpaksa dijalankan secara berterusan,” katanya pada sidang akhbar selepas Op Patuh Khas Kenderaan Komersial di Plaza Tol Jitra, malam tadi.

Lokman berkata, trend kesedaran dan tahap pematuhan peraturan yang rendah dalam kalangan pengguna juga boleh dilihat sepanjang pelaksanaan operasi berkenaan selama sebulan sejak 1 Oktober lalu.

“Berdasarkan pemerhatian dan analisis awal data hasil pemeriksaan dan audit sepanjang operasi itu, kita dapati tahap pematuhan pengguna terutama pemandu kenderaan komersial terhadap akta berkaitan masih rendah.

“Akta tersebut adalah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) serta Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715),” ujarnya.

Menurutnya, dalam operasi tersebut, pihaknya memeriksa dan mengaudit 321,263 kenderaan dan sebanyak 73,296 notis dikeluarkan kepada pihak syarikat, pemilik dan pemandu ekoran pelbagai kesalahan.

“Daripada jumlah notis itu, terdapat 4,515 (6 peratus) kesalahan lebih muatan, 19,905 (27 peratus) kesalahan teknikal, 11,813 (16 peratus) tiada lesen memandu yang sah, 6,085 (8 peratus) tiada lesen vokasional.

“Sebanyak 9,947 (14 peratus) lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, 6,626 (9 peratus) tiada insurans serta 5,762 (8 peratus) lagi membabitkan tujuh kesalahan utama lalu lintas seperti menggunakan telefon bimbit ketika memandu serta tidak memakai tali pinggang keledar,” jelasnya.

Katanya lagi, pihaknya juga menyita 705 kenderaan dengan 16 daripadanya melibatkan kesalahan lebih muatan yang terlampau.

Justeru, JPJ memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pemandu kenderaan komersial yang didapati memandu secara berbahaya dan melebihi had laju dibenarkan.

“Memang tidak dapat dinafikan inilah antara penyebab kepada kemalangan yang mana mereka ini juga sering dilihat memandu di lorong sebelah kanan dengan amat laju,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN