BENTONG: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas firma guaman Rosli Dahlan Saravana (RDS) semalam sebagai salah guna kuasa.
Katanya, beliau menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghentikan kezaliman terhadap pembangkang dan memfokuskan tumpuan kepada ekonomi negara serta membantu rakyat.
“Ini salah guna kuasa sedangkan dia peguam yang pertahankan diri saya. Untuk tujuan apa SPRM pergi sana (buat serbuan).
“Ini seolah-olah ada gambaran sesuatu nak dilakukan. Ini salah guna kuasa pihak tertentu,” katanya pada pentas akhir ceramah mega PRK Pelangai di sini, malam tadi.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan dilakukan terhadap seorang peguam yang terlibat dalam usaha kerajaan untuk mendapatkan semula aset 1Malaysia Development Bhd (1MDB) oleh kerajaan.
Beliau berkata, peguam terbabit merupakan salah seorang daripada beberapa individu yang disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Haram 2001.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan peguam peribadi Muhyiddin iaitu Rosli mendakwa bahawa SPRM menyerbu firma guamannya pukul 10.30 pagi.
Rosli merupakan salah seorang pasukan pembelaan Muhyiddin berhubung kes dihadapinya sebelum ini.
Katanya, seramai 12 pegawai SPRM menyerbu firma guaman Rosli Dahlan Saravana (RDS) yang menuntut kuasa penyiasatan untuk mengakses seluruh pejabatnya. – UTUSAN