Semakin kurang generasi muda ceburi bidang kewartawanan-SJA

Semakin kurang generasi muda ceburi bidang kewartawanan-SJA

MUGUNTAN Vanar (enam kiri) dan Jawatankuasa SJA merakamkan gambar kenangan bersama Hajiji Noor (tengah) dan Fahmi Fadzil (enam kanan) di Kota Kinabalu baru-baru ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Muguntan Vanar melahirkan kebimbangan apabila semakin kurang generasi muda menceburi bidang kewartawanan.

Situasi itu mungkin disebabkan pelbagai faktor termasuk tawaran gaji yang kurang menarik.

Beliau berkata, selepas pandemik Covid-19, pengamal media berhadapan dengan kesukaran hingga menyebabkan banyak pejabat organisasi media nasional di Sabah telah ditutup.

“Hanya sebilangan kecil sahaja kakitangan berada di Sabah dan sebahagian kes pula, hanya wartawan sambilan sahaja diambil bertugas di negeri ini. Pada masa ini, tidak banyak organisasi media tempatan mengupah wartawan baharu dalam kalangan generasi muda.

“Saya tidak pasti jika generasi muda tidak berminat menjadi wartawan disebabkan kadar upah yang agak rendah atau organisasi media tidak berusaha menarik generasi muda untuk menceburi bidang ini,” katanya semasa Anugerah Kewartawanan Kinabalu baru-baru ini.

Malam anugerah itu disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan turut dihadiri oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Dalam pada itu, beliau yakin media arus perdana akan terus kekal sebagai medium terbaik untuk menyalurkan maklumat yang tepat bagi menepis laporan berita palsu.

Katanya, penting bagi pengamal media dan kerajaan saling bantu-membantu untuk memastikan media terus memainkan peranan dalam menyediakan laporan yang adil dan seimbang dalam berhadapan penularan berita palsu dalam laman media sosial.

Dengan adanya maklumat yang sahih, beliau percaya orang ramai tidak akan mempercayai berita palsu yang tersebar melalui media sosial. Situasi itu akan membolehkan kerajaan meyakinkan rakyat mengenai hala tuju pembangunan dan dasar kerajaan.

“Saya percaya hubungan yang erat antara media dan kerajaan sangat penting kerana kerajaan bergantung kepada peranan media massa untuk berkomunikasi dengan rakyat. Maka, penting untuk media mendapat akses kepada maklumat bagi memastikan rakyat menerima maklumat sebenar,” katanya.

Muguntan berkata, SJA juga menyokong penuh usaha kerajaan perpaduan untuk mewujudkan Majlis Media. Difahamkan Menteri Komunikasi dan Digital sedang mengambil pandangan dan maklum balas daripada pengamal media sebelum Rang Undang-Undang itu dibentangkan di Parlimen.

Melalui penubuhan Majlis Media tersebut, ia akan mengukuhkan lagi media Malaysia melalui kawal selia kendiri dan terus melaporkan berita secara bertanggungjawab dengan penuh etika dan adil. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN