‘Saya tak kisah digelar apa pun, teguran untuk Pas demi kebaikan bersama’ - Utusan Malaysia

‘Saya tak kisah digelar apa pun, teguran untuk Pas demi kebaikan bersama’

ABU BAKAR HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Abu Bakar Hamzah tidak kisah digelar apa sekali pun susulan daripada tegurannya berhubung perpecahan yang berlaku di dalam Pas negeri.

Menurut Abu Bakar, semua perkara yang dinyatakan olehnya sebelum ini adalah merupakan satu bentuk teguran demi memperkukuhkan gabungan Perikatan Nasional (PN) di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya hanya bercakap jujur bagi memperbetulkan semula permasalahan yang berlaku itu sekali gus menggelakkannya daripada terus berlarutan.

“Saya hanya menegur secara ikhlas malah tiada sebarang ungkapan maki hamun mengenai permasalahan yang dihadapi ini.

“Semua parti ada masalah namun teguran yang ditujukan kepada Pas Perlis itu adalah susulan daripada muktamar parti itu baru-baru ini di mana Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang ada menyebut tentang isu ‘tebuk kapal’ yang berlaku.

“Jadi saya tak kisah orang nak gelar saya apa pun namun apa yang ditegur itu adalah demi kebaikan Pas semata-mata,” katanya di sini hari ini.

Abu Bakar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penafian Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri, Mohd Shukri Ramli berhubung isu perpecahan yang sedang berlaku di dalam Pas ketika ini.

Mohd Shukri turut mengakui ada dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN di negeri ini yang terus menerus mengkritik pentadbiran kerajaan negeri ketika ini.

Terdahulu, Abu Bakar mendedahkan wujud perpecahan di dalam Pas Perlis membabitkan isu kefahaman agama, susun gerak kerja dan pentadbiran kerajaan negeri.

Dalam perkembangan sama, Abu Bakar berkata, beliau juga masih menghormati institusi kerajaan negeri yang dipimpin oleh PN di bawah pentadbiran Mohd Shukri ketika ini.

“Saya juga tidak pasti siapa ADUN yang dimaksudkan (oleh Mohd Shukri) namun kita hanya menegur sesama sendiri demi kebaikan dalam memperkukuhkan PN,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya