Sasaran SDG 2030 tidak mampu tercapai jika hanya hebat merancang, gagal melaksana

Sasaran SDG 2030 tidak mampu tercapai jika hanya hebat merancang, gagal melaksana

AHMAD Ismail (kanan) sebagai moderator bersama barisan ahli panel Anuwar Ali, Abdul Latiff Mohamad dan Zaid Ahmad dalam diskusi Bulan Akademia di UPM, Serdang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Malaysia tidak berupaya mencapai sasaran Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 dalam tempoh tujuh tahun lagi jika segala agenda yang dirancang tidak dilaksanakan.

Bekas Canselor Universiti Cyberjaya, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Anuwar Ali berkata, terdapat enam perkara penting dari sudut ekonomi untuk dilaksanakan di bawah SDG iaitu menoktahkan kemiskinan, pendidikan berkualiti, tenaga mahir yang kompetensi tinggi dan pekerjaan bersesuaian serta lumayan dalam pembangunan ekonomi.

Ini termasuk kepentingan industri dan inovasi melalui kemampuan dan peranan universiti, mengurangkan perbezaan dari segi agihan pendapatan selain bekerjasama antara komponen bagi menjayakan matlamat itu.

Beliau berkata, setiap dasar yang digubal bermula Dasar Ekonomi Baharu (DEB) pada tahun 1971 sehingga Rancangan Malaysia Ke-12, isu asas tetap sama iaitu membasmi kemiskinan dan peluang pekerjaan anak muda selain pelbagai lagi perancangan lain.

“Kita ada banyak perancangan hebat dan dasar termasuk pelan pendidikan tinggi negara, tetapi kurang melaksanakan. Tidak ada jentera kerajaan yang betul-betul membuat apa yang dirancang.

“Kita sudah melalui beberapa rancangan Malaysia lima tahun. Sekarang RMK12, kita lancar kemudian senyap, jentera kerajaan tidak betul-betul melihat ini sebagai tujuan penting untuk masyarakat,” katanya ketika menjadi ahli panel dalam Diskusi Bulan Akademia anjuran Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini hari ini.

Presiden MAAC, Prof. Dr. Ahmad Ismail adalah sebagai moderator diskusi itu dengan tema ‘Peranan universiti menjayakan SDG 2030’.

Anuwar berkata, peringkat kedua dalam pelaksanaan perancangan kerajaan ialah membersihkan agenda ‘politikus’ yang menggagalkan pelaksanaan itu.

Katanya, kebanyakan menteri hanya seronok melancarkan setiap dasar tetapi tidak ada susulan kepada perancangan dasar itu agar betul-betul dilaksanakan.

“Setiap tahun kita tengok laporan audit negara macam-macam masalah timbul tetapi tidak ada ganjaran dan hukuman yang jelas sehingga masalah sama berulang dan tidak diperbetulkan.

“Orang politik dan pemimpin negara, adakah betul niat mereka mahu memperbaiki negara atau ada agenda lain?” soalnya.

Dalam pada itu, Felo Akademi Sains Malaysia, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Latiff Mohamad berkata, Malaysia hanya menjadi ‘pak turut’ dalam mengikuti agenda SDG iaitu sebuah agenda pemikiran barat sebagai pemain utama yang mahu melestarikan ekonomi bagi negara-negara maju.

Katanya, sasaran 2030 untuk tujuh tahun akan datang tidak akan tercapai jika tidak ada komitmen untuk melaksanakannya dan bersifat ‘hangat-hangat tahi ayam’, malah secara angkuh dan tamak mengeksploitasi sumber daratan khususnya hutan sehingga tidak nampak usaha menjaga kelestarian.

Pada masa katanya, negara-negara besar mengeksploitasi sumber lautan dan negara-negara kecil bukan sahaja tidak boleh menjaga sumber perikanan negara sendiri malah membuka ruang kepada negara besar mencuri sumber sekali gus menggagalkan usaha menjaga kelestarian.

“Faktor-faktor yang membuat iklim itu berubah bukan negara membangun, tetapi semua negara maju, itulah yang akan ‘mengacau’ iklim dunia. Kita tidak membakar hutan tetapi kita mendapat musibah daripada Kalimantan dan Sumatera.

“Kita hanya gah melalui papan tanda besar dan slogan sahaja tetapi tidak ada ‘will’ untuk melakukannya,” katanya.

Menyokong pendapat sama, Felo Penyelidik Utama, Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Zaid Ahmad berkata, terdapat dwi fungsi ilmu iaitu ilmu diterokai untuk mengisi keperluan manusia sama ada secara fizikal dan spritual dan kedua ilmu untuk menyelesaikan masalah manusia.

Kata beliau, sekiranya universiti dapat melaksanakan dua fungsi ini dengan berkesan, maka banyak masalah masyarakat dapat diselesaikan melalui penyelidikan.

“Bagaimanapun, ia nampak hambar dan tidak berlaku di kebanyakan universiti apabila impak kepada penyelesaian masalah itu tak begitu kelihatan.

“Banyak institusi membuat penyelidikan, kita banyak mengeluarkan wang untuk sarjana universiti melakukan penyelidikan tetapi sejauh mana penyelidikan yang dihasilkan universiti tidak sampai kepada sasaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya