KUCHING: Sarawak menyasarkan untuk menggandakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada lapan peratus setahun dengan pencapaian RM282 bilion menjelang tahun 2030.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sasaran itu perlu dicapai berbanding kadar hanya empat peratus setahun pada tahun 2019.
Ini sekali gus katanya boleh memenuhi hasrat Sarawak meningkatkan pendapatan median isi rumah bulanan daripada RM4,000 (setara dengan AS$1,000) kepada RM15,000 (setara dengan AS$3,300) melalui pelan pembangunan negeri menjelang 2030.
Menurutnya, Sarawak kini sedang mengubah suai ekonomi berdasarkan kekuatannya, termasuk lokasinya yang strategik di kawasan yang berkembang pesat.
“Sarawak diyakini mampu menjadi pusat pelaburan yang penting dengan kelebihan kos yang bersaing serta rangkaian pengangkutan yang baik dengan kawasan lain di rantau ini dan seluruh dunia,” katanya ketika berucap di Kongres Teknologi Dan Inovasi Dunia (WCIT) ke-27 2023 dan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak Ke-6 (IDECS) 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini semalam.
Selain itu, jelasnya, Sarawak turut menyumbang secara besar-besaran kepada sektor tenaga Malaysia terutamanya melalui pengeluaran minyak dan gas serta penjanaan tenaga hidro.
“Pembangunan berterusan infrastruktur di Sarawak seperti inisiatif Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) menunjukkan aspirasi kita untuk menjadi pusat ekonomi penting di rantau ini,” jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, pertumbuhan ekonomi perlu diimbangi dengan kelestarian alam sekitar dan Sarawak menghadapi cabaran berganda dalam merangkul potensi ekonominya sambil menyelaraskan matlamat ekonomi dan alam sekitar global yang lebih luas.
Selain itu, dedahnya, Sarawak juga mengambil pendekatan keselamatan teknologi dengan menubuhkan Unit Keselamatan Siber untuk menyediakan perkhidmatan dan panduan keselamatan siber kepada kedua-dua sektor awam dan swasta serta rakyat.
“Keselamatan siber bukan lagi pilihan teknologi, tetapi keperluan sebenar untuk masyarakat. Kita bukan sahaja perlu melindungi data kita, malah, infrastruktur kritikal, sistem pengangkutan, utiliti, penjagaan kesihatan, pembuatan, peruncitan dan kewangan kita. Malah, ia meresap hampir setiap aspek masyarakat dalam kehidupan seharian kita.
“Justeru, kita akan menubuhkan unit ini (Unit Keselamatan Siber) ini termasuk menangani penyelesaian untuk infrastruktur kritikal seperti loji kuasa dan hospital, antara lain,” katanya.
Penubuhan itu, kata Abang Johari susulan Laporan Keselamatan Siber Kesatuan Eropah, jenayah siber menelan belanja sebanyak AS$6 trilion pada 2021.
“Namun, di Malaysia, jenayah siber pada tahun 2022 catat kerugian sebanyak RM600 juta, kebanyakannya adalah kes penipuan. Walaupun kita tidak dapat menghapuskannya (kes penipuan), kita menangani masalah ini melalui pendidikan untuk pengguna akhir dan industri.
“Malah, kita juga memupuk pendekatan yang mementingkan keselamatan seperti keselamatan mengikut reka bentuk untuk membantu mengurangkan risiko pada peringkat awal,” ujarnya.-UTUSAN










