Sarawak mohon infrastruktur sekolah mencapai standard kualiti

Sarawak mohon infrastruktur sekolah mencapai kualiti standard

ABANG Johari Tun Openg melakukan lawatan ke salah sebuah bilik kelas Bangunan baharu SK Maludam, Betong di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LINGGA: Kerajaan Sarawak berharap pembinaan infrastruktur sekolah-sekolah Kerajaan Persekutuan di negeri itu memenuhi kriteria dan mencapai standard pendidikan yang berkualiti. 

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelaksana iaitu Kerajaan Persekutuan harus memastikan pembinaan bangunan serta infrastruktur sekolah memenuhi permintaan kerajaan negeri. 

“Kita tidak mahu sekolah yang dibina oleh Kerajaan Persekutuan nanti standardnya di bawah jangkaan kita kerana kita mahu pembinaan infrastruktur mengikut standard negeri. 

“Kalau Kerajaan Persekutuan tidak mencapai yang seperti mana Sarawak laksanakan, malulah mereka kerana kebajikan penyampaian pendidikan pada akhirnya juga perlu mencapai standard dan berkualiti. 

“Jadi, saya minta agar Kerajaan Persekutuan beri standard kepada pembinaan bangunan sekolah seperti tempat guru, kuarters, ruang makanannya serta bilik darjah anak kita belajar seperti yang kita mahukan,” tegasnya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Maludam, Betong di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abang Johari turut menggesa agar Kerajaan Persekutuan mengembalikan autonomi pendidikan kepada Kerajaan Sarawak bagi membolehkan ia menunaikan tanggungjawab terhadap pendidikan yang sama rata kepada anak-anak di negeri ini. 

“Kita mahu dasar yang konsisten dan infrastruktur yang teratur. Sebab itu saya beritahu Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), kalau boleh beri autonomi pendidikan kepada Sarawak, kita laksanakan projek dan juga pembangunan pendidikan kita. 

“Kerana kita sendiri (kerajaan negeri) tahu apa perancangan yang terbaik untuk dilaksanakan kerana ia melibatkan negeri kita sendiri. Kalau kita mengharapkan pihak kerajaan Persekutuan untuk mengatur, ia akan berubah-ubah rancangannya nanti,” ujar Abang Johari. 

Justeru, beliau turut menegaskan bahawa sistem pelaksanaan di mana projek-projek yang menelan kos di bawah RM50 juta sekolah dan pembangunan di Sarawak, perlu dilaksanakan oleh kerajaan negeri. 

“Saya juga meminta Perdana Menteri mempunyai sistem pelaksanaan di mana projek yang di bawah kos RM50 juta melibatkan sekolah dan pembangunan di Sarawak diserahkan kepada kerajaan negeri untuk dilaksanakan. Mereka (Kerajaan Persekutuan) hanya berikan duit, kita akan laksanakan.

“Tetapi, kadang-kadang ada pegawai tidak setuju, maka, timbullah birokrasi. Justeru, saya menegaskan kepada mereka (Kerajaan Persekutuan) bahawa saya mahu melihat standard sekolah rendah yang dibina menepati standard yang dimahukan kerajaan Sarawak. 

“Kalau kita nak maju, generasi kita (anak-anak) mesti menuntut ilmu yang terkini. Ilmu yang cukup untuk membangunkan negeri kita maju, maka, penyampaian pendidikan yang berkualiti perlu bermula di sekolah dalam keadaan yang baik,” jelas Abang Johari. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya