ALOR SETAR: Kerajaan negeri tetap menaruh harapan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang menanti kelulusan Kementerian Pengangkutan dapat direalisasikan pada masa depan walaupun projek berimpak tinggi itu tidak disebut dalam Belanjawan 2024, semalam.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, walaupun berasa kecewa projek itu tiada dalam Belanjawan 2024, kerajaan negeri terus berusaha memastikannya menjadi kenyataan.
“Harap tahun depan dia (Perdana Menteri) sebutlah. Kalau tak sebut dalam bajet (belanjawan) sebut dalam ‘event’ lain pun boleh. Saya sentiasa berharap KXP itu jadi realiti.
“Tinggal kelulusan sahaja daripada Kementerian Pengangkutan,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir memeriahkan program lawatan penggemar motosikal berkuasa tinggi, Winger Camaraderie Ride di Dataran Medan Bandar, di sini hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, pihaknya juga sedia berbincang semula dengan kementerian berkenaan demi memastikan pembangunan KXP mendapat perhatian daripada Kerajaan Persekutuan.
“Saya sudah tugaskan banyak pihak di Kedah (untuk uruskan KXP), bukan Sanusi semua (yang uruskan), tak boleh.
“(Kalau) Sanusi semua jadi panas. Jadi saya hantar orang yang ‘sejuk’ pergi jumpa (Kementerian Pengangkutan). Saya tengok dari jauh, tak kena (tak betul) saya jerkah,” katanya.
Kata beliau, pihaknya bagaimanapun berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang bercadang memulakan tanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun serta menaikkan harga lantai belian padi daripada RM1,200 kepada RM1,300 per tan metrik.
“Tanaman padi lima kali dua tahun ini adalah ‘wishlist’ Kedah. Saya hargai itu, bukan kita nak berlawan 24 jam. Yang betul kita kata betul, yang salah kita kata salah. Itulah pedoman hidup kita.
“Walaupun musuh walaupun kawan, yang kawan kita pun kalau dia salah kita kena kata salah, kena tegur. Kalau musuh pun dia betul kita kata betul, itulah prinsip kita simple sahaja. Tak payah nak kona banyak,” katanya. – UTUSAN