KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menafikan memfitnah Tan Sri Vincent Tan dan Berjaya Land Berhad dalam ucapannya pada program Jelajah Mega PN Best, Ogos lalu.
Sebaliknya, ucapan yang dibuat tersebut merujuk kepada isu tatakelola dan ketirisan yang didakwa berlaku dalam pentadbiran ahli-ahli politik Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) terutamanya membabitkan Menteri Besar Selangor.
Selain itu, Muhammad Sanusi menyatakan sebagai ahli politik pembangkang, beliau mempunyai tanggungjawab moral dan sosial untuk mendedahkan sebarang isu tatakelola dan ketirisan dalam pentadbiran PH-BN.
“Defendan (Muhammad Sanusi) menegaskan tiada langsung rujukan dibuat kepada plaintif kedua (Berjaya Land) secara langsung atau innuendo. Defendan juga tidak pernah sekali-kali membuat tuduhan bahawa Vincent seorang ahli perniagaan yang korup.
“Defendan juga tidak pernah menyatakan plaintif pertama dan kedua telah melakukan aktiviti haram atau menyalahi undang-undang, menipu rakyat Selangor dan mempunyai kecenderungan untuk melakukan amalan tidak jujur dan mempunyai reputasi yang buruk,” kata Muhammad Sanusi.
Selain itu, Ahli Parlimen Jeneri itu juga menyatakan Vincent dan Berjaya Land tidak mengalami sebarang kerugian kerana Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) masih lagi diteruskan.
Menteri Besar Kedah yang juga Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional (PN) berkata demikian dalam pembelaannya berkaitan saman yang difailkan oleh Vincent Tan pada 29 Februari lalu di Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung Projek SMG.
Pada 8 Ogos lalu, Vincent dan Berjaya Land memfailkan saman fitnah terhadap Muhammad Sanusi yang didakwa mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbaur fitnah terhadap beliau pada program Jelajah Mega PN Best pada 2 Ogos lalu di Dataran Darulaman, Jitra, Kedah.
Program jelajah tersebut adalah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri termasuk Kedah.
Sementara itu, Berjaya Land yang merupakan plaintif kedua dalam saman itu menyatakan walaupun tiada rujukan spesifik dibuat terhadap syarikat itu, kenyataan yang dibuat Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu mampu difahami bahawa ia merujuk kepada syarikat terbabit.
Kenyataan-kenyataan berbaur fitnah itu antara lain menggambarkan ahli perniagaan itu dan Berjaya Land merupakan seorang ahli perniagaan dan syarikat yang korup, kroni Menteri Besar Selangor dan telah memperoleh tanah seluas 600 hektar secara percuma.
“Kenyataan-kenyataan berbaur fitnah itu juga mampu merosakkan reputasi yang dimiliki kedua-dua dalam dunia perniagaan sama ada di dalam atau luar negara serta berpotensi menyebabkan plaintif-plaintif kehilangan keuntungan berjumlah jutaan ringgit,” dakwa kedua-dua plaintif dalam pernyataan tuntutan itu.
Menurut pernyataan tuntutan tersebut, Projek SMG membabitkan sebuah syarikat bertujuan khas, Landasan Lumayan Berjaya Sdn. Bhd. (LLBSB) menerusi usaha sama dengan Menteri Besar (Diperbadankan) (MBI).
LLBSB bukan sahaja perlu membayar premium tanah bernilai RM113.1 juta bahi lot-lot tanah tersebut tetapi juga mencari dana untuk membayar premium terbabit kepada Kerajaan Negeri Selangor.
Oleh itu, Vincent dan Berjaya Land menuntut ganti rugi am, pampasan, teruk dan teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya.
Plaintif turut memohon perintah injunksi terhadap Muhammad Sanusi bagi menghalangnya ataupun ejen defendan daripada mengulangi kenyataan-kenyataan berbaur fitnah itu dalam apa jua medium.
Pada 25 Ogos lalu, kedua-dua plaintif berjaya mendapatkan injunksi sementara secara sebelah pihak (ex-parte) terhadap Muhammad Sanusi. Permohonan injunksi inter-parte (kedua-dua belah pihak) ditetapkan untuk pendengaran pada 25 Oktober ini.










