Saluran tunggal permohonan TVET mulai 30 Oktober

Saluran tunggal permohonan TVET mulai 30 Oktober

AHMAD Zahid Hamidi menyerahkan dokumen perjanjian persefahaman kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Kerjasama Antara Kerajaan Dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Swasta di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bermula 30 Oktober ini, semua permohonan ke program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan dibuat menerusi satu saluran tunggal permohonan sahaja.

Permohonan dan tawaran latihan TVET itu boleh dibuat menerusi portal Unit Pengambilan TVET (UP_TVET), mohon.tvet.gov.my.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu diputuskan pada mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Tekninal dan Vokasional Negara (MTVET), hari ini.

Beliau berkata, saluran tunggal permohonan itu diperkenal bagi menyelaras kemasukan ke 1,334 pusat latihan TVET di seluruh negara.

“Peserta boleh memilih kursus mana yang mereka minati dan pusat latihan TVET yang mereka mahu. Ia sekali gus mengelakkan pertindihan dan ketidakpadanan dari segi permohonan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis pertukaran dokumen memorandum kerjasama transformasi program TVET antara kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta, di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini membangkitkan berhubung keperluan mewujudkan satu unit khas ba­gi mengawal selia permohonan dan pengambilan pelajar menyertai TVET bagi mengelak pertindihan permohonan dan pe­na­waran.

Unit itu perlu berfungsi se­perti Unit Pusat Universiti (UPU) yang akan menyelaras semua permohonan dan tawaran untuk mengikuti kursus TVET di semua pusat atau institusi di negara ini agar lebih sistematik.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau juga mahu kursus-kursus yang ditawarkan itu berasaskan teknologi tinggi termasuk tenaga diperbaharui dan keperluan guna tenaga yang diperlukan pelabur asing dan mampu memanfaatkan 3.5 juta peluang pekerjaan ditawarkan menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Justeru, beliau sudah mengarahkan Sekretariat TVET supaya menyediakan pelan haja tuju bagi menterjemahkan dasar TVET 1.0 hingga 2030 dan dasar TVET 2.0 seterusnya menjelang 2050.

“Apa yang kita lakukan ini ialah kita harus keluar dari kepompong latihan konvensional TVET selain mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan.

“Oleh itu, penyelarasan itu sangat penting kerana kebolehpasaran graduan TVET telah meningkat cukup tinggi melebihi 92 peratus,” katanya.

Katanya, TVET seharusnya dijadikan pilihan utama selain daripada kursus-kursus bukan TVET bagi mengatasi keciciran berlaku dan mengurangkan kadar pengangguran negara.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga akan memperkenal beberapa langkah proaktif termasuk mewujudkan dana pembiayaan ketika latihan TVET. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya