KOTA KINABALU: Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media yang dijangka diadakan pada Mac tahun depan akan turut mengambil kira pandangan semua pengamal media termasuk di Sabah.
Itu jaminan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dalam memastikan peranan dan kebajikan media di negara ini sentiasa terbela.
“Saya telah meminta Timbalan Menteri Komunikasi (Teo Ni Ching) untuk mengadakan pertemuan dan perbincangan. Kita mahu mengambil pendekatan yang lebih komprehensif dalam menggubal undang-undang sebelum ia dibawa ke Parlimen.
“Saya percaya proses libat urus itu akan dilakukan secara terbuka, jadi setelah kita selesaikan beberapa perkara lagi, saya akan minta Timbalan Menteri dan rakan-rakan (media) untuk mengadakan perbincangan, termasuk rakan-rakan (media) di Sabah.
“Kita akan pastikan proses itu dapat dilakukan agar kita boleh memberi apa juga input sebelum (RUU) dibawa ke Parlimen. Kita jangka RUU Majlis Media ini boleh dibentang pada Mac tahun depan, harap semua berjalan lancar,” katanya semasa Malam Anugerah Kewartawanan Kinabalu 2023, di sini semalam.
Dalam pada itu, Fahmi juga mahu agar sepanjang beliau menjadi Menteri Komunikasi, tiada pengamal media yang dibuang kerja dan bagi memastikan organisasi media terus mampan perlu ada penglibatan yang konstruktif serta etika kewartawanan yang baik.
Katanya, jika dilihat keadaan ekonomi semasa yang membabitkan industri media di Malaysia, organisasi media berhadapan cabaran apabila terpaksa bersaing dengan medium media sosial dalam aspek pengiklanan.
Dahulu, tambahnya, dalam tempoh setahun pengiklanan dalam media konvensional boleh mencecah RM4.5 bilion setahun tetapi dalam beberapa tahun lepas, pengiklanan berkurang sehingga RM2.5 hingga RM3 bilion kerana peralihan kepada pengiklanan dalam laman media sosial seperti Meta dan Tiktok.
“Keadaan itu menjejaskan bidang kewartawanan, kita tidak dapat membayar gaji yang sepatutnya. Biarpun bidang kewartawanan ini seharusnya menerima bayaran gaji yang baik.
“Itu sebabnya saya banyak mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan dalam media serta rakan-rakan daripada media sosial untuk mencari satu jalan yang terbaik,” katanya.
Dalam majlis anugerah itu, wartawan sambilan Utusan Malaysia, Suraidah Roslan meraih kemenangan dalam kategori utama Anugerah Kewartawanan Laporan Berita (bukan rencana) bagi laporan bertajuk ‘Bersabung nyawa demi ilmu’ dan ‘Masalah infrastruktur punca sukar ke sekolah’.
Wartawan sambilan itu turut memenangi dua hadiah merit bagi kategori hiburan, budaya dan seni serta kategori perniagaan dan ekonomi. – UTUSAN










