Rumah manuskrip Munshi Abdullah dimamah usia

Rumah manuskrip Munshi Abdullah dimamah usia

MOHD. NAJIB Latip menunjukkan ruang dalam rumah sejarah Munshi Abdullah yang rosak di Kampung Ketek, Jonker Walk, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Rumah menyimpan khazanah milik bapa kesusasteraan Melayu moden, Munshi Abdullah atau nama sebenarnya Abdullah Abdul Kadir di Kampung Ketek, Jonker Walk dekat sini terus terbiar dan makin usang.

Lebih menyedihkan, ruang dalam rumah dibangunkan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dengan peruntukan RM1 juta itu sangat daif, selain rosak teruk dan terdapat atap sudah roboh.

Kayu tiang rumah itu dimamah anai-anai, lantainya rosak serta pecah manakala tangganya pula menunggu runtuh.

Beberapa manuskrip hasil tulisan Munshi Abdullah yang bernilai tinggi turut dipercayai hilang dicuri pihak tidak bertanggungjawab apabila pintu belakang rumah itu didapati dipecahkan.

Rumah yang dibiayai Perzim bersama MAIM telah diwartakan di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya 1988 bakal hilang jika dibiarkan begitu sahaja.

Kampung Ketek dahulu dikenali sebagai Kampung Pali adalah tempat kelahiran Munshi Abdullah pada 1796 yang melahirkan banyak karya antaranya Syair Singapura Terbakar (1830), Kisah Pelayaran Abdullah (1838) dan Hikayat Abdullah (1849).

Generasi ketujuh keluarga Munshi Abdullah, Mohd. Najib Latip, 52, berkata, sebelum ini rumah berkenaan menjadi tumpuan pelancong kerana tersimpan pelbagai khazanah termasuk manuskrip.

Menurutnya, sejak rumah itu rosak teruk dimakan anai-anai, ia ditutup daripada dikunjungi pelancong, selain banyak manuskrip didakwa telah dicuri.

“Saya telah maklumkan kerosakan teruk rumah yang menyimpan khazanah milik Munshi Abdullah kepada Perzim sejak tahun lalu, tetapi tidak ada sebarang tindakan diambil.

“Apabila tinjau rumah ini saya dapati keadaannya semakin uzur jadi saya terpaksa tutup pintu daripada dikunjungi pelancong.

“Saya juga harap kerajaan negeri dan Perzim membaik pulih semula rumah sejarah menyimpan manuskrip Munshi Abdullah dan ia boleh dibuka kepada pelancong semula,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Tambah Mohd. Najib, ramai tidak menyedari wujudnya rumah berkenaan kerana papan tanda didirikan Perzim tulisannya terlalu kecil dan sukar dilihat.

“Rumah berkenaan juga berhampiran makam Syamsudin al-Sumatrani, seorang ulama, sasterawan dan pahlawan terbilang Aceh di zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda.

“Dia mengetuai angkatan perang Aceh sewaktu membantu Melaka daripada ditakluki Portugis pada 1511,” jelasnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya