Reman pasangan kekasih letupkan bom buatan sendiri disambung 3 hari - Utusan Malaysia

Reman pasangan kekasih letupkan bom buatan sendiri disambung 3 hari

SUSPEK warga Indonesia (kiri) dalam kes letupan bom buatan sendiri disambung reman selama tiga hari di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang hari ini. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Tempoh reman pasangan kekasih yang meletupkan bom buatan sendiri berhampiran mesin basuh jiran mereka di flat Taman Pandan, dekat sini Ahad lalu, disambung tiga hari lagi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, permohonan sambung reman terhadap lelaki tempatan berusia 32 tahun dan wanita warga Indonesia berusia 38 tahun itu dibuat selepas tempoh reman empat hari sebelum ini tamat hari ini.

Kata beliau, pihaknya sedang melengkapkan siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan, Kakisan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 8 Akta Senjata 1960.

“Sambungan tahanan reman selama tiga hari itu bermula hari ini sehingga 15 Oktober ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan rasa tidak puas hati terhadap jiran yang batuk setiap kali melalui koridor rumah didakwa menjadi motif utama pasangan kekasih itu meletupkan bom buatan sendiri berhampiran mesin basuh jiran mereka itu di flat terbabit.

Siasatan awal turut membawa kepada penemuan satu lagi bom buatan sendiri dan pihak polis turut merampas sepucuk pistol dan peluru buatan sendiri serta kerambit.

Suspek utama turut mengakui mempelajari cara dan teknik membuat bom melalui laman web manakala bahan yang digunakan diperolehi menerusi pembelian online.

Terdahulu, satu letupan dilaporkan berlaku di flat terbabit pukul 12.56 tengah hari Ahad.

Saksi kejadian turut menemukan bungkusan dipercayai bahan letupan sebelum menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya