ALOR SETAR: Keluarga kepada Muslimat Pas, Nurul Najihah Amzi yang terbunuh dalam kemalangan di Tanjung Malim, Perak semalam dikenali dengan sikapnya yang ringan tulang dan suka menolong siapa saja.
Menurut ibunya, Mashitah Shafie, 54, beliau dan suami, Amzi Ishak, 55, reda dan ikhlas dengan kehilangan anak sulung mereka itu yang ‘pergi’ ketika ingin membantu orang dalam kesusahan.
“Arwah memang suka tolong orang sesiapa sahaja. Sejak zaman universiti lagi dan itu sebab arwah masuk politik.
“Apabila kami dapat tahu arwah meninggal dunia pun ketika dia hendak membantu orang. Kami reda,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Alor Melong, Derga di sini hari ini.
Nurul Najihah, 27, merupakan salah seorang daripada Perwakilan Muslimat Pas yang terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 390, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat susur keluar Plaza Tol Behrang di Tanjung Malim, Perak semalam.
Turut terbunuh, Ketua Dewan Muslimat Pas Sungai Petani, Taibah Sulaiman, 61, dan Ketua Ameerah Pas Sungai Petani, Fatihah Nabilah Bukri, 23.
Sementara itu di Tanjung Malim, PERAK, suami kepada Nuru Najihah tidak menyangka permintaan isterinya untuk dikebumikan di kampung halaman menjadi petanda ia akan pergi untuk selama-lamanya.
Faizal Jailani, 42, berkata, dia tidak menganggap permintaan isterinya itu sebagai pelik walaupun hasrat sama diulang beberapa kali sejak tiga bulan lalu.
“Setiap bulan, pasti dia akan ingatkan saya, sekiranya dia sudah tiada, tolong kebumikan jenazahnya di Alor Setar, dekat dengan rumah ibu dan bapanya di Seri Derga.
“Saya tidak anggap ia benda pelik pun sebaliknya fikirkan itu hanya gurauan, tapi dalam tempoh tiga bulan ini, dia sentiasa pesan perkara sama,” katanya.
Juga di Tanjung Malim, rasa tidak sedap hati seorang ibu menerima panggilan telefon bertalu-talu, rupa-rupanya membawa perkhabaran memilukan mengenai anak gadisnya, Fatihah.
Menurut ibu Fatihah, Jamaliah Jaafar, 52, hatinya terdetik ada sesuatu yang tidak kena selepas menerima lima panggilan telefon ketika sedang menunaikan solat Zohor.
Katanya, dia segera menghubungi semula pemanggil yang juga anak saudaranya sebelum diberitahu bahawa anak sulungnya itu terlibat dalam kemalangan.
“Mereka minta saya hubungi rakan yang bersama dengan Fatihah (untuk tahu cerita sebenar), saya terkejut apabila diberitahu bahawa anak saya maut dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Slim River di sini semalam.-UTUSAN










