KUALA LUMPUR: Perkhidmatan rangkaian 5G telah mencapai 70.2 peratus liputan di kawasan berpenduduk setakat 30 September 2023.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, sebanyak 5,873 tapak 5G juga sudah siap dibangunkan sehingga tempoh tersebut.
Katanya, angka itu menunjukkan pelaksanaan rangkaian 5G sedang giat dijalankan Digital Nasional Berhad (DNB) dengan sasaran menyiapkan 7,509 tapak 5G di seluruh negara, dengan 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk.
“Sehubungan itu, bagi jumlah langganan, sebanyak 2.49 juta langganan telah direkodkan bersamaan 7.4 peratus kadar penembusan.
“Sehingga kini enam syarikat pemberi perkhidmatan mudah alih telah menawarkan pelan komersial 5G.
“Dan untuk makluman Yang Berhormat Titiwangsa (Datuk Seri Johari Abdul Ghani), pada 31 Ogos lalu, kerajaan telah mengumumkan pakej 5G Rahmah.
“Sukacita saya maklumkan, dalam tempoh sebulan antara 31 Ogos, hingga hujung September. Terdapat 50,991 orang yang telah melanggan dengan pakej 5G Rahmah,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Johari Abdul Ghani [BN- Titiwangsa] yang bertanya perkembangan terkini perkhidmatan rangkaian 5G di Malaysia.- UTUSAN










