PSI semakin diterima, 70 peratus nelayan tahap satu daftar SIMP - Utusan Malaysia

PSI semakin diterima, 70 peratus nelayan tahap satu daftar SIMP

MOHAMAD Abdul Hamid (tiga dari kanan) ketika menyerahkan bangsal kepada nelayan di kawasan Selatan Pulau Pinang yang menerima skim SIMP di Bayan Lepas, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BAYAN LEPAS: Sebanyak 70 peratus nelayan tahap satu yang terlibat dalam pembangunan Pulau Pinang Selatan (PSI) telah mendaftar untuk menerima skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) sejak kerja-kerja awal penambakan projek itu bermula 1 September lalu.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, kesudian nelayan menerima SIMP bermakna mereka menerima pelaksanaan PSI.

”Perkembangan ini adalah positif kerana tanggapan umum selama ini adalah nelayan membantah projek.

“Jelas realitinya bukan begitu kerana sebaik sahaja nelayan mendapat tahu projek sudah mendapat kelulusan untuk memulakan penambakan, mereka bersedia untuk mendaftarkan nama untuk skim SIMP,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis penyerahan bangsal nelayan serta penyampaian hadiah kecemerlangan dan kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT), di sini semalam.

Sehingga kelmarin , seramai 347 daripada 496 nelayan tahap satu yang berkelayakan telah mendaftar untuk skim SIMP.

Sebelum mendapat kelulusan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) pada 21 Julai, peratusan pendaftaran nelayan tahap satu sejak pengumuman skim SIMP pada awal 2021 adalah 56 peratus.

Unit nelayan yang dikategorikan sebagai tahap satu adalah yang terletak paling hampir dengan tapak PSI iaitu unit Permatang Tepi Laut; Sungai Batu; Gertak Sanggul dan Teluk Kumbar manakala unit Tahap 2 adalah unit Pulau Betong; Kuala Sungai Burung; Seri Jerjak; Telok Tempoyak dan Batu Maung.

Menurut Mohamad, para nelayan juga tidak bertindak balas dengan menentang projek PSI kerana mereka berfikiran terbuka dan menerima pembangunan selain tahu masih boleh meneruskan pekerjaan nelayan.

Dalam pada itu, Shoib Ibrahim, 67, yang menjadi nelayan kawasan Permatang Tepi Laut pertama mendapat bangsal baharu di bawah skim SIMP berterima kasih kepada kerajaan negeri atas pemberian tersebut.

“Saya menjadi nelayan sejak 1998 selepas bersara dari tentera dan tidak pernah ada sesiapa yang bertanya apa keperluan nelayan di sini.

“Alhamdulillah, bangsal yang dibina dengan konkrit ini cukup kemas dan kukuh. Saya boleh menyimpan peralatan dan melabuh bot saya dengan selamat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya