Projek LCS: Mengapa masih tiada individu didakwa di mahkamah?

Parlimen: Mengapa masih tiada individu didakwa di mahkamah berhubung projek LCS?   

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembangkang menggesa supaya kerajaan menyiasat pihak bertanggungjawab menyeleweng dana bagi projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS), supaya dibawa ke muka pengadilan kerana menyebabkan aset itu gagal disiapkan mengikut garis masanya.

Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, selain belum pun didakwa di mahkamah, malah kerajaan meluluskan peruntukan tambahan kepada kontraktor, Boustead Naval Shipyard (BNS) yang terbukti gagal menyelesaikannya.

IKMAL HISHAM ABDUL AZIZ

“Bukankah ini tindakan seperti duri dalam daging yang secara tidak langsung mensabotaj keupayaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)? Di mana prinsip kita dan ke mana hala tuju negara ini yang mahu dibawa dengan menutup sebelah mata terhadap kecurangan ini?

“Sewaktu saya menjadi Timbalan Menteri Pertahanan, saya telah menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat dengan menyatakan kertas siasatan sudah hampir siap.

“Apakah status siasatannya? Sepatutnya tindakan sudah diambil mendakwa mereka dan bukan hanya melaporkan perkara masih lagi dalam siasatan.

“Apakah ada perkara yang cuba disorok kerajaan berkaitan isu LCS walaupun sudah menjadi isu penyelewengan terbesar dan terburuk dalam sejarah negara,” katanya semasa membahaskan usul Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, beliau menasihati Kementerian Pertahanan (Mindef) supaya berhati-hati mendengar cadangan dan syor daripada pihak berkepentingan terutama kontraktor BNS yang terbukti gagal menyiapkan enam kapal sejak 2019.

Katanya, dalam keadaan berlaku pertambahan kos RM2.1 bilion dan jumlah kapal dikurangkan kepada lima unit, syarikat sama tetap diberi kepercayaan menyelesaikan masalah yang dicipta mereka sendiri.

Katanya, lebih memburukkan keadaan apabila tiada tindakan diambil ke atas penyelewengan dan salah guna kuasa dan pengkhianatan terhadap keupayaan TLDM untuk mempertahan kedaulatan negara.

“Pertambahan kos peruntukan ini disandar ke atas alasan tidak rasional dan tidak masuk akal. Inilah sebenarnya strategi syarikat BNS sejak mula lagi iaitu supaya kerajaan menambah peruntukan bagi menyelesaikan masalah wang yang sudah tiris berjumlah RM1.4 bilion.

“Ini sebagaimana yang dilapor oleh Laporan Audit dan Laporan Audit forensik Syarikat Alliance IFA ke atas pelan perniagaan Syarikat BNS yang bersifat samar-samar,” katanya.

Ikmal Hisham berkata, mempercayai dan menerima bulat-bulat syor diberi BNS ibarat tikus membaiki labu.

“Kerajaan sepatutnya lebih cenderung mendengar pandangan TLDM selaku pengguna akhir kerana kesan buruk kegagalan projek LCS ini mengakibatkan kelompongan keupayaan TLDM bagi menghadapi cabaran operasi kawalan keselamatan maritim negara.

“Tambahan lagi kita sedang berdepan dengan cabaran keselamatan di Laut China Selatan, namun, malangnya sehingga kini kita tidak cakna terhadap keperluan mendesak dan kritikal TLDM untuk melaksanakan tugas dan tanggung jawab mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau mempersoal jaminan kerajaan bahawa peruntukan tambahan RM2.1 bilion itu tidak akan sampai kepada dua anak syarikat BNS iaitu Contraves Advanced Dynamics Sdn. Bhd. (CAD) dan Syarikat Contraves Electrodynamics Sdn. Bhd. (CED) walau sesen.

“Apa jaminannya sama ada dalam bentuk bayaran pampasan atau apa jua bayaran kerja kepada dua syarikat ini di dalam penyelesaian perjanjian antarabangsa supaya mereka menarik diri sepenuhnya daripada terlibat lagi dalam pelaksanaan projek pada masa hadapan?

“Atau adakah lagi bentuk keperluan bayaran bagi kerja fasa mobilisasi dan pembinaan kapal LCS pada masa hadapan kepada kedua-dua syarikat ini kerana CAD dan CED ini memegang ‘hak kontrak’ dengan vendor-vendor atau pembekal syarikat antarabangsa untuk menyiapkan Kapal LCS?” soalnya.

Beliau mengingatkan bahawa CAD dan CED yang dianggap sebagai ‘lembaga hitam rakus’ itu adalah syarikat dicipta oleh BNS yang hanya bertindak sebagai orang tengah tanpa kepakaran dalam bidang kejuruteraan pembinaan kapal.

“Saya khuatir, jika kaedah pelaksanaan yang sama dibuat dalam fasa baharu pembinaan kapal LCS nanti, tidak akan ada perubahan signifikan terhadap kemajuan pembinaan kapal dan lebih buruk lagi kerajaan terpaksa menambah lagi kos-kos lain dengan alasan-alasan baharu variation orders (VO) yang tidak masuk akal.

“Dengan niat menjustifikasikan tambahan kos bagi menampung jumlah wang yang telah hilang berjumlah RM1.4 bilion sebagaimana yang dilaporkan dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) 2022,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ‘tiang gol’ sudah banyak kali beralih bermula April 2019 kemudian berubah pada 2024 dan kemudian 2026 seterusnya 2029 menurut laporan terkini PAC.

“Kita perlu hentikan tindakan main-main ini dan tidak harus mengambil mudah terhadap permasalahan kapal LCS,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya