ILTIZAM seorang guru pendidikan khas dari Kedah membangunkan program transisi kerjaya membolehkan lebih 20 pelajar orang kurang upaya (OKU) bimbingannya diterima bekerja dalam industri perhotelan.
M. Kumaresan, 40, yang berkhidmat di Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) Vokasional Merbok memulakan inisiatif itu menerusi Projek School Enterprise Kedai Dobi OKU dan Pusat Latihan Rumah Mock.
Program latihan selama tiga hingga enam bulan itu bertujuan memperkasakan peserta dengan kemahiran praktikal di samping memupuk keyakinan diri.
Beliau yang merupakan penerima Anugerah Rise Educator 2023 oleh Taylor’s College percaya pelajar OKU juga berhak memiliki pekerjaan seperti insan normal lain.
“Pemerhatian saya mendapati ramai lepasan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) gagal dalam pasaran kerja disebabkan majikan kurang yakin kepada mereka.
“Daripada situlah tercetusnya inspirasi untuk memulakan program transisi kerjaya agar para pelajar saya dapat bekerja dan hidup seperti orang biasa,” katanya kepada Utusan Malaysia
baru-baru ini.
Inisiatif Pusat Latihan Rumah Mock turut mendapat tajaan bernilai RM10,000 daripada Taylor’s College, meliputi barangan keperluan dan peralatan.
Sumbangan itu sekali gus membantu mengembangkan lagi kapasiti Projek School Enterprise Kedai Dobi OKU
untuk impak lebih besar.
Terdahulu, Kumaresan berkata, motivasi tinggi untuk membela nasib pelajar OKU timbul apabila ditugaskan ke aliran pendidikan khas.
Hatinya tersentuh apabila didekati seorang pelajar down syndrome di sekolah berkenaan yang mahu mengikuti pengajarannya.
“Tiba-tiba dia datang dan pegang tangan saya sambil bertanya apakah saya guru yang mahu mengajarnya.
“Situasi itu sangat luar biasa, hingga menyebabkan air mata saya mengalir,” katanya yang pada mulanya
mahu bergelar peguam.
Sementara itu, seorang bekas pelajarnya, Aliff Danial Muhammad Zali berterima kasih atas bimbingan dan tunjuk ajar Kumaresan selama ini.
Pemuda OKU ini bersyukur kerana dapat diterima bekerja di sebuah hotel di Sungai Petani.
“Banyak memori indah dengan cikgu, paling diingati apabila dia tolong dan bimbing saya sampai ke tahap ini,” ujarnya sebak.










