PETALING JAYA: Putra Business School (PBS) di Universiti Putra Malaysia (UPM), diiktiraf mempunyai Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) terbaik di Malaysia, dan ke-24 di rantau Asia.
Presiden PBS, Dr. Azmawani Abd Rahman berkata, penarafan ini adalah pengiktirafan terhadap dedikasi serta usaha gigih warga dan pelajar PBS selain membuktikan komitmen PBS untuk terus mempertingkatkan mutu taraf pendidikan yang luar biasa dan menjalankan aktiviti penyelidikan yang efektif.
“PBS telah menunjukkan komitmen yang konsisten terhadap kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan penglibatan komuniti.
“Kedudukan teratas ini bukan sahaja pengiktirafan terhadap pencapaian sebelum ini, tetapi juga permerkasaan usaha dan strategi demi mencapai visi PBS untuk menjadi sekolah perniagaan yang berprestij dan unggul di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
PBS merupakan institusi pengajian tinggi dalam perniagaan yang pertama di Malaysia mendapat akreditasi daripada AACSB (The Association to Advance Collegiate Schools of Business) dan ABEST21 (Pakatan Berkenaan Pembelajaran Perniagaan dan Biasiswa Untuk Esok).
Semua program akademik di PBS juga diakreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta mendapat kelulusan daripada Kementerian Pengajian Tinggi dan menawarkan program-program seperti Phd, Msc, MBA, MBA – Open & Mod Pelajaran Jarak Jauh.
Sementara itu, Azmawani berkata, PBS mengucapkan terima kasih kepada semua pensyarah, kakitangan, pelajar, alumni dan rakan strategiknya yang telah memainkan peranan penting untuk mencapai kejayaan yang luar biasa ini.
Dalam penarafan QS Global MBA Rankings yang dikeluarkan pada 25 Oktober 2023, penarafan universiti ditentukan melalui lima indikator iaitu ‘Kepelbagaian Kelas dan Fakulti’ (Class and Faculty Diversity), ‘Keusahawanan dan Pencapaian Alumni’ (Entrepreneurship and Alumni Outcomes), ‘Pulangan Pelaburan’ (Return on Investment), ‘Pemikiran Kepemimpinan’ (Thought Leadership) dan ‘Kebolehpasaran’ (Employability).
Melalui indikator ini, PBS turut tersenarai dalam kedudukan antara 151 hinga 200 program global MBA terbaik dunia dan antara 48.6% program MBA teratas di dunia. –UTUSAN