PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengenal pasti aset-aset milik tiga beranak termasuk pengasas syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline dipercayai hasil aktiviti pengubahan wang haram.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan secara menyeluruh sedang dijalankan pihaknya bagi mengesan mana-mana aset termasuk akaun bank atau harta yang dipercayai hasil kegiatan tersebut.
Selain itu katanya, polis sedang menyiasat modus operandi digunakan suspek dalam mengutip deposit haram melibatkan satu daripada rangkaian perniagaannya sejak tiga tahun lalu.
“Siasatan turut melibatkan apa jenis kesalahan dilakukan antaranya bagaimana suspek mengambil wang dan sebagainya.
“Kita juga sedang mengenal pasti sebarang aset-aset milik suspek dipercayai daripada aktiviti pengubahan wang haram namun ia memerlukan masa termasuk termasuk tindakan sitaan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Tambahnya, reman terhadap ketiga-tiga suspek akan tamat hari ini.
“Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada ketiga-tiga suspek akan disambung reman atau bebas dengan jaminan,” katanya.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan pihak polis sedang menyiasat kemungkinan terdapat penglibatan individu lain berkaitan kes melibatkan pengasas dan pemegang saham MYAirline.
Selasa lalu Ramli dilaporkan berkata, pengasas bersama syarikat penerbangan murah yang berusia 57 tahun itu ditahan polis bersama isteri, 55, dan anak lelakinya, 26, di Shah Alam, Selangor.
Beliau berkata, siasatan pihaknya meliputi pelbagai elemen termasuk bagi mengetahui sumber wang melibatkan rangkaian perniagaan dimiliki tiga beranak itu dipercayai hasil pengubahan wang haram.
Ketiga-tiga mereka direman empat hari bermula kelmarin untuk siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – UTUSAN









