IPOH: Polis akan menjalankan pemantauan di kawasan kediaman penduduk terjejas banjir di negeri ini bagi memastikan keselamatan harta benda dan tidak menjadi sasaran penjenayah.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, penduduk yang terpaksa berada di pusat pemindahan sementara (PPS) tidak perlu bimbang kerana rondaan akan dilakukan setiap masa.
Katanya, mereka bagaimanapun perlu memaklumkan kepada pihak polis lokasi kediaman bagi memudahkan rondaan dijalankan.
“Sebelum ini pun, memang kita akan pantau rumah-rumah yang ditinggalkan (mangsa banjir). Rondaan dibuat secara berkala bagi memastikan rumah mangsa banjir ini dalam keadaan selamat.
“Apa-pun, pastikan mereka maklumkan kepada pihak polis lokasi rumah, mereka tidak perlu bimbang kerana rondaan akan dibuat setiap masa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan perasmian Program Pencegahan Jenayah dan Meniti Kerjaya Dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pari di sini pada Isnin.
Yang turut hadir, Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kula Segaran dan Pengetua SMK Sungai Pari, Balarama Krrishnan.
Di Perak, seramai 145 mangsa banjir daripada 40 keluarga berada di dua buah PPS selepas kediaman mereka terjejas akibat banjir sejak minggu lalu.
Bagi daerah Hilir Perak, seramai 104 orang daripada 31 mangsa banjir berada di PPS di Dewan Serbaguna Padang Tembak yang dibuka sejak Isnin lalu.
Semua mangsa yang dipindahkan itu merupakan penduduk dari Lorong Kedah, Lorong Belakang Klinik, Batu 9 Simpang Tiga, Batu 10, Batu 7, Lorong Sidang Osman, Batu 9 dan Lorong Mesra.
Bagi daerah Kerian, PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak pula menempatkan 41 orang daripada sembilan keluarga daripada Kampung Matang Tengah, Bagan Serai. – UTUSAN










