Polis giat kesan suspek kes tikam wanita - Utusan Malaysia

Polis giat kesan suspek kes tikam wanita

TANGKAP layar daripada rakaman CCTV menunjukkan suspek yang dipercayai menikam seorang wanita di sebuah kedai dobi layan diri di Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus, petang tadi.  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Polis masih giat mengesan seorang lelaki dipercayai suspek kes tikam terhadap seorang wanita di sebuah kedai dobi layan diri di Kampung Seberang Takir, di sini, petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd. Zaki Wan Ismail berkata, siasatan sedang diteruskan pihaknya bagi mengenal pasti identiti lelaki terbabit.

Menurut beliau, ketika kejadian, suspek disyaki telah menikam mangsa yang merupakan wanita tempatan berusia 31 tahun di bahagian belakang badan menggunakan gunting.

“Pihak polis telah menjalankan siasatan secara menyeluruh dan teliti daripada semua sudut untuk mengenal pasti suspek utama yang terlibat dalam kejadian ini.

“Buat masa ini usaha mencari lelaki itu masih giat dijalankan di sekitar daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus sejak semalam bagi melengkapkan siasatan.

“Mangsa kini dilaporkan dalam keadaan stabil setelah menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ),” jelasnya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu bermotifkan samun dengan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 393 akta sama.

Dalam kejadian pukul 3 petang semalam, seorang wanita dikejarkan ke hospital setelah ditikam seorang lelaki di dalam sebuah kedai dobi layan diri berhampiran Kem Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), dekat sini.

Turut tular di media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan memaparkan suspek yang meluru masuk lalu menikam mangsa menggunakan senjata tajam.

Malah lelaki itu turut bertindak menyepak mangsa sebelum melarikan diri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya