PETALING JAYA: Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengkritik Perikatan Nasional (PN) kerana dilihat tidak menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pembangkang dengan berkesan.
Khairy berkata, PN lebih gemar bercakap tentang isu agama dan kaum seolah-olah tidak tahu-menahu bagaimana ingin bercakap tentang polisi.
“PN ni pun satu hal. Tak reti nak bahas polisi asyik cakap pasal isu agama dan kaum sahaja.
“Sikit-sikit tengah buat ‘move’ nak guling Madani (Kerajaan Perpaduan). Come on lah,” katanya menerusi hantaran di Instagram Story.
Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau turut memuat naik tangkap layar di Instagram Story yang menunjukkan tinjauan pendapatan di aplikasi X menunjukkan podcastnya iaitu Keluar Sekejap dilihat sebagai pembangkang dan suara ketiga yang paling efisien dan kritis pada 2023.
Podcast itu mendapat undi sebanyak 88 peratus daripada kalangan pengguna aplikasi tersebut dan PN mendapat dua peratus, manakala Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memperoleh 10 peratus.
Podcast Keluar Sekejap dikendali dan dihoskan oleh Khairy bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan. – UTUSAN