Pinda Akta 355 ambil kira penggubalan Akta Mahkamah Syariah

PARLIMEN: Pinda Akta 355 ambil kira penggubalan Akta Mahkamah Syariah

DR. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dewan Rakyat diberitahu bahawa pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) akan mengambil kira cadangan penggubalan Akta Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan). 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pindaan akta 355 masih dalam proses libat urus dengan pihak-pihak terlibat.

“Kita masih lagi dalam proses libat urus dengan Majlis Agama Islam negeri-negeri dengan pihak istana dan sebagainya, selain itu kita juga akan mengambil kira proses menggubal Akta Mahkamah Syariah Wilayah- Wilayah Persekutuan itu,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Tarmizi Sulaiman [PN-Sik] berhubung perkembangan terkini mengenai pindaan kepada Akta 355.

Menjawab soalan asal Ahmad Tarmizi mengenai usaha kerajaan mengukuhkan hak dan kedudukan Mahkamah Syariah, Mohd. Na’im berkata kajian dan pindaan terhadap undang-undang syariah dibuat agar sesuai dengan keadaan semasa termasuk cadangan penggubalan kepada Akta Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) itu.

Katanya, usaha lain yang dilakukan adalah penyeragaman pentadbiran pengurusan kes melalui pembinaan kaedah, arahan amalan, garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) serta peningkatan kemahiran personel Mahkamah Syariah melalui program latihan.

“Usaha lain termasuk penambahbaikan operasi dan perkhidmatan sokongan keluarga oleh Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) meliputi dana pendahuluan nafkah, perkhidmatan BSK Transit dan pemfailan kes-kes penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah mahkamah;

“Pengukuhan kepada penyelesaian pertikaian kes secara alternatif melalui Sulh, Hakam dan Mediasi, penambahbaikan sistem pengurusan kes melalui sistem E-Syariah dan menggalakkan inovasi dalam pengurusan kes dan pentadbiran di Mahkamah Syariah negeri-negeri,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN