Pihak berkuasa digesa siasat pemalsuan tandatangan hak milik

Pihak berkuasa digesa siasat pemalsuan tandatangan hak milik tanah

Hishamuddin Hashim (bertopi) dalam sidang akhbar mengenai kegiatan pemalsuan tandatangan pada dokumen hak milik tanah di Sungai Besi, Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kegiatan pemalsuan tandatangan pada dokumen hak milik tanah adalah satu kesalahan yang perlu dipandang serius pihak berkuasa bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa.

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihak berkaitan termasuk Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Melaka digesa menjalankan siasatan bagi mengenal pasti bagaimana pemalsuan itu berlaku dan kemungkinan terdapat pembabitan sindiket tertentu.

Kata beliau, laporan  polis telah dibuat pada 30 Mei lalu dan sepatutnya polis telah memberi perkembangan siasatan. 

“Oleh itu, saya gesa polis melihat semula laporan tersebut dan menjalankan siasatan supaya tindakan bernas dapat diambil.

“Saya yakin ramai lagi menjadi mangsa penipuan seperti ini. Kes sebegini adalah serius dan perlu diambil tindakan sewajarnya dengan segera,” katanya dalam sidang akbar di sini hari ini.

Turut hadir Penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan.

Sementara itu, seorang mangsa bukan sahaja menanggung kerugian kira-kira RM70,000, malah perlu membayar cukai sehingga RM21,000 selepas ditipu broker tanah.

Dakwanya, tandatangannya turut dipalsukan oleh broker tanah berkenaan menyebabkan menanggung kerugian.

Mangsa, Nik Jefri Ismail, 37, mendakwa diperdaya dalam pembelian satu lot tanah di Bukit Rambai, Melaka, pada 2020.

Menurutnya, ia bermula selepas melihat iklan penjualan tanah berkenaan di Facebook, lalu menghubungi nombor tertera milik seorang lelaki mengaku ejen penjualan itu. 

“Selepas beberapa perbincangan, pada 2021 saya bersetuju untuk membuat pembelian dan membuat dua kali bayaran berjumlah RM100,000.

“Saya dijanjikan tanah itu akan ditambak dan segala urusan termasuk peguam disediakan pihak terbabit. 

“Saya percaya apa dikatakan kerana ini pengalaman pertama saya membeli tanah dan menyerahkan sepenuh urusan kepadanya,” jelasnya.

Bercerita lanjut, Jefri berkata, penipuan terbongkar pada Mei lalu selepas dia ke lokasi tanah dan mendapati tidak ditambak menyebabkan dia menghubungi broker tanah meminta penjelasan namun gagal.

Peniaga itu berkata, dia kemudian ke Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Melaka untuk semakan, namun Borang 14A iaitu pindah hak milik tanah mendapati harga sebenar tanah berkenaan hanya RM30,000.

“Lebih mengejutkan apabila borang berkenaan sudah ditandatangani saya, sedangkan itu bukan tandatangan saya. 

“Saya juga tidak pernah menandatangani sebarang dokumen semasa pembelian tanah itu,” katanya.

Berikutan itu, dia membuat laporan polis untuk tindakan lanjut dan malangnya sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil pihak terbabit. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya