PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan Perlis mempunyai potensi yang besar untuk menjana pertumbuhan ekonomi walaupun negeri terkecil di negara ini.
Penasihat SG4 itu berpendapat, ia dibuktikan dengan wujudnya industri perubatan, farmaseutikal, pertanian dan pelancongan di negeri itu.
“Walaupun Perlis tidak menonjol berbanding negeri lain dan sumber pendapatannya terhad, sebenarnya negeri ini punyai kelebihan dan aset yang boleh jana pertumbuhan ekonomi. Umpamanya cuaca di Perlis ini panas, sudah tentu sesuai diadakan projek tenaga solar besar-besaran.
“Saya juga dimaklum sudah ada industri perubatan dan farmaseutikal bertapak di Perlis. Begitu juga hasil tani seperti buah mangga harum manis yang mendapat permintaan tinggi bila tiba musimnya. Selain itu hutan, bukit dan gua turut menjadi produk pelancongan tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, Perlis juga mempunyai banyak tanah-tanah kosong yang terbiar dan boleh dibangunkan.
“Dahulu pernah saya cadang di tepi-tepi jalan raya diusahakan tanam pokok jati. Pokok jati nilainya cukup tinggi. Kedah dan Perlis amat sesuai tanam pokok jenis ini. Masalahnya ialah cara tanam pokok jati ini tidak kena.
“Sepatutnya, ia ditanam tidak kurang dari 30 hingga 40 kaki antara satu sama lain, tetapi yang ada sekarang ditanam lima kaki setiap pokok, inilah punca pokok tidak boleh tumbuh besar. Sepatutnya, sekarang sudah masuk tempoh menuai dan boleh keluarkan hasil. Jadi cara tanam perlu diperbetul semula,” katanya.
Beliau memberi contoh bagaimana tanaman pokok jati terbaik ialah di Langkawi kerana ia ditanam dengan jarak sesuai.
“Semua orang tahu kayu jati ini tinggi nilainya. Ranting pokok sahaja pun jika diukir jadi hulu tongkat, ada harganya.
“Jika kita tumpu dan benar-benar bersungguh dalam industri kayu jati ini pun boleh beri pulangan kepada negeri. Apa yang penting ialah bagaimana cara kita tingkat kebolehan dan kembangkan aset sedia ada,” katanya.
Dalam pertemuan bersama Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli, beliau mengakui semasa bergelar Perdana Menteri, tumpuan ketika itu semestinya kepada negara secara keseluruhannya.
“Masa terhad untuk lihat setiap satu negeri. Pembangunan di tiap negeri dipertanggungjawab kepada negeri dan jentera pentadbiran negeri. Sekarang selepas tidak lagi jadi Perdana Menteri dan dijemput menasihat SG4 ini, saya akui ada banyak masa dan boleh bantu beri tumpuan kepada hal berkait ekonomi dan pelaburan di SG4.
“Insya-Allah, kerjasama antara SG4 ini dapat meningkat pelaburan dan akhirnya beri manfaat kepada pembangunan dan hasilnya nanti dinikmati rakyat negeri ini,” katanya.-UTUSAN










