KUALA NERUS: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu telah membuat pembayaran faedah dan pampasan lebih RM13.6 juta dalam tempoh sembilan bulan tahun ini.
Menurut Pengarah Perkeso negeri, Farihah Che Husin, pembayaran itu membabitkan 4,339 kes pelbagai kategori termasuk faedah pengurusan jenazah, pencen penakat, faedah hilang upaya dan banyak lagi.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 2,146 kes yang diproses melibatkan tuntutan daripada waris di daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Besut, Setiu, Marang dan Hulu Terengganu.
Selain itu katanya, Pejabat Perkeso Negeri Daerah Kemaman memproses 1,455 kes tuntutan faedah dan pampasan manakala 738 kes lagi dibuat di Dungun.
“Sejak Januari sehingga September tahun ini, Perkeso Terengganu membuat bayaran faedah dan pampasan berjumlah RM13,605,005.93 yang meliputi 4,339 kes di seluruh negeri.
“Ia termasuk bayaran faedah pengurusan jenazah, pencen bulanan, faedah perubatan dan orang tanggungan, faedah hilang upaya sementara dan kekal serta faedah pencen ilat kepada yang layak.
“Jadi orang ramai digalakkan mencarum di bawah pelbagai skim ditawarkan Perkeso termasuk kepada suri rumah, pekerja ekonomi gig dan yang bekerja sendiri,” katanya.
Farihah ditemui selepas melawat Mohd. Syawal Arifin@Abd. Rahman, 34, suami kepada wanita yang maut ketika dalam perjalanan mengambil anak sulung mereka dari kelas agama, 16 Oktober lalu.
Menurut Farihah, hasil semakan mendapati Allahyarham Nor Faizuamee Zulkifli, 37, pernah bekerja dan mencarum sekali gus memenuhi syarat melayakkan waris menerima faedah pencen penakat.
“Perkeso telah membayar RM2,000 berupa faedah pengurusan jenazah kepada waris dan suami arwah juga akan menerima pencen bulanan seumur hidup bermula bulan depan.
“Anak-anaknya yang berusia bawah 21 tahun akan menerima pencen bulanan sehingga mereka berusia 21 tahun atau bukan lagi di bawah tanggungan,” tambah beliau.
Pada 16 Oktober lalu, akhbar ini melaporkan seorang wanita maut selepas motosikalnya dilanggar dari arah belakang dekat bulatan Bandar Baru Kuala Nerus ketika dalam perjalanan mengambil anaknya di sekolah. – UTUSAN