KUALA TERENGGANU: Penggiat industri pelancongan di negeri ini digalakkan memperkenalkan alternatif baharu mempromosi produk dan pakej pelancongan yang ditawarkan sepanjang musim tengkujuh.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pihak terlibat perlu berfikir di luar kotak untuk menarik kedatangan pelancong tanpa mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan keselamatan.
Menurutnya, tengkujuh yang bakal melanda Terengganu bukan perkara baharu dan pengusaha industri pelancongan terutama operator resort, hotel atau chalet pasti sudah mempunyai perancangan rapi untuk mengharungi cabaran sepanjang tempoh tersebut.
“Kita sedar impak tengkujuh agak tinggi terhadap industri pelancongan, namun kerajaan negeri tidak pernah menghalang atau mengeluarkan arahan penutupan pulau peranginan di Terengganu pada musim Monsun Timur Laut.
“Sebaliknya, ia bergantung kepada pemain industri sama ada mahu terus menjalankan operasi atau menghentikan operasi untuk sementara waktu.
“Malah, sebelum ini pun masih ada pelancong yang masuk ke pulau untuk merasai sendiri kehidupan penduduk ketika musim tengkujuh, oleh itu, kerajaan negeri tidak menghalang operasi yang ingin dilakukan namun perlulah mengutamakan aspek keselamatan pelancong,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Utusan Malaysia pada 28 September lalu mengenai keluhan pengusaha resort, hotel dan chalet di pulau-pulau peranginan di Terengganu yang mengalami kerugian hampir 40 peratus setiap kali musim tengkujuh.
Kebanyakan pengusaha pulau akan menghentikan operasi mereka pada Oktober hingga Februari setiap tahun kerana laut bergelora dan ombak yang tinggi tidak sesuai untuk aktiviti pelancongan.
Mengulas lanjut, Razali berkata, kerajaan negeri sentiasa mempromosikan Terengganu untuk menarik kedatangan pelancong dengan pelbagai program bertaraf antarabangsa agar manfaatnya dinikmati semua pihak.
“Antara aktiviti yang akan diadakan tidak lama lagi ialah Perhentian Swim Marathon pada 6 dan 7 Oktober depan, Perhentian Dive Heart pada 3 Oktober dan Tenggiri Challenge 2023 di Pulau Kekabu Marang.
“Seterusnya, ada penganjuran Setiu Wetlands State Park Discovery pada pertengahan November diikuti Pertandingan Memanah Tradisional di Tasik Kenyir dan International Monsson Casting Tournament pada 8-11 Disember, juga di Tasik Kenyir.
“Kemeriahan akan terus dirasai pada penganjuran Terengganu Surf Pro Champions & World Surf League International yang akan berlangsung pada 15 hingga 17 Disember di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu dan pertandingan mukat ikan di Kampung Durian Pahit, Marang pada 29 hingga 30 Disember,” katanya.-UTUSAN










