Pentas Marhaban taruhan baharu Al Hijrah - Utusan Malaysia

Pentas Marhaban taruhan baharu Al Hijrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menampilkan kelainan dengan menyuntik elemen keislaman, stesen TV Al Hijrah melancarkan program realiti baharu, Pentas Marhaban yang bakal membuka tirai episod pertamanya Sabtu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Namanzee Harris berkata rancangan hiburan realiti TV Islamik itu bertujuan mengangkat kebudayaan seni suara dalam Islam iaitu seni berzanji, marhaban dan qasidah sebagai hiburan kekeluargaan di kaca televisyen.

“Pentas Marhaban diterbitkan bagi memenuhi metodologi dakwah yang lebih kreatif, bersesuaian dengan konsep Malaysia Madani, Pelan Transformasi Al-Falah, peredaran zaman, kehendak penonton serta selari dengan tuntutan syarak.

“Kami sentiasa memposisikan kedudukan sebagai agen penyebar dakwah yang memikul tugas fardu kifayah dalam mendidik masyarakat Malaysia khususnya,” katanya.

Dalam pada itu, Namanzee juga teruja kerana TV AlHijrah merupakan satu-satunya stesen televisyen negara yang mengangkat aktiviti berzanji dan marhaban yang menjadi amalan tradisi masyarakat melayu.

Tambahnya, Pentas Marhaban akan mengangkat tema Hiburan Tradisi Nurani, dan dihoskan oleh Syamsul Ghau Ghau dan Juara Akademi Qurra’ musim pertama, Tilmiz Fahmi.

Ustaz Husaini Mahmur, qari negara akan bertindak sebagai penasihat Pentas Marhaban, serta diadili dua juri tetap, Ustazah Asni Mansor dan Ustaz Hafiz Gambus yang turut disertai juri jemputan.

“12 kumpulan marhaban bakal bersaing mengalunkan rangkaian puisi tentang kisah Rasulullah SAW serta puji-pujian kehadrat Ilahi yang disampaikan dengan iramanya yang tersendiri dengan penumpuan kepada tiga elemen utama pada setiap persembahan iaitu Mawal, Marhaban dan Qasidah.

“Mereka dipilih disebabkan kefasihan, kelunakan serta kreativiti persembahan yang terbaik. Apa yang utama, mereka semua akan menjadi ikon elemen hiburan Islamik yang menitikberatkan wasilah dakwah kontemporari yang berupaya menghubungkan penonton dengan Rabbul Jalil.

“Dua belas kumpulan tersebut adalah Al-Muhtadin, Selawat Buskers, Soutun Nadwah, Al Maqari, Mawaddah, Qalbun Hadi, An Ni’matul ‘Uzma, Shoutul Huffaz, Nurul Akhyar, Sinar Marhaban, Raudhatul Ashwaq dan Intracksee,” tuturnya menutup bicara.

Pentas Marhaban akan disiarkan secara langsung selama lapan minggu dari Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah, pada setiap Sabtu,pukul 9 malam mulai Sabtu ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN