Penjajaran kapal berlabuh di Melaka, elak pukat nelayan rosak

Penjajaran kapal berlabuh di Melaka, elak pukat nelayan rosak

MUHAMAD AKMAL Saleh (kanan) mendengar taklimat daripada pegawai Jabatan Perikanan negeri di Jeti Perlindungan Sumber, Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri mengarahkan penjajaran semula terhadap kapal-kapal besar yang berlabuh di perairan Tanjung Kling di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, penjajaran secara selari itu penting bagi membolehkan nelayan dapat menurunkan pukat dan jala tanpa rasa bimbang, sekali gus tidak menjejaskan sumber rezeki mereka.

Kata beliau, konflik berlaku apabila kawasan tangkapan ikan semakin mengecil susulan tambakan laut semakin luas memaksa para nelayan menurunkan pukat di kawasan yang lebih jauh iaitu di kawasan kapal besar berlabuh.

“Mungkin berlaku salah faham sebab zon berlabuh yang besar. Sebelum tambak laut berlaku, nelayan boleh menangkap ikan di luar zon berlabuh tetapi apabila semakin luas nelayan tidak ada pilihan dan terpaksa masuk ke tempat yang digazetkan untuk kapal berlabuh.

“Hasil perbincangan tadi kita dah dapat satu persetujuan daripada Pelabuhan Tanjung Bruas, Pelabuhan Klang, Jabatan Perikanan negeri, Jabatan Laut Malaysia untuk menjajarkan tempat kapal-kapal berlabuh. Ini bagi membolehkan nelayan menangkap ikan dengan tenang tanpa bimbang jala dan pukat mereka tersangkut.

“Kapal boleh parkir (berlabuh) di mana-mana yang dia rasa sesuai atas arahan pihak pelabuhan. Kita minta dalam zon itu dibuat selari supaya kita boleh tahu walaupun kapal nelayan masuk tapi mereka tetap boleh tangkap ikan tanpa merosakkan jala,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Pemantauan Kawasan Tangkapan Ikan Perairan Melaka Tengah di sini, hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, kira-kira 242 nelayan di tujuh pangkalan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor merayu kerajaan negeri segera mewartakan zon nelayan dan zon kapal di perairan Pantai Puteri.

Mereka menyifatkan, selagi zon berkenaan tidak diwartakan atau diwujudkan, insiden pukat hanyut tersangkut pada badan kapal bersauh akan terus berulang tanpa kesudahan.

Tambah Muhamad Akmal, penjajaran semula itu dilaksanakan selepas kajian berhubung perkara itu selesai dijalankan.

Menurutnya, pihak pengendali pelabuhan akan memberikan tarikh pelaksanaan itu selewat-lewatnya petang ini.

“Saya akan dapatkan tarikh tersebut hari ini sebab pengurusan pelabuhan perlu berbincang dengan pihak atasan. Kalau dibuat terburu-buru kita bimbang akan beri kesan buruk kepada semua pihak. Jadi petang ini dia (pihak pelabuhan) akan beritahu tarikh sama ada seminggu, dua minggu atau sebulan lagi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya