PETALING JAYA: Dua lelaki ditahan polis selepas mencabul dan mendera dua penghuni perempuan sebuah pusat jagaan di Lembah Jaya, Ampang dekat sini dalam kejadian berasingan, minggu lalu.
Kejadian itu terbongkar selepas remaja perempuan masing-masing berusia 13 dan 14 tahun itu menceritakan kejadian kepada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum dibawa membuat laporan polis, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, berdasarkan laporan, kejadian pertama berlaku pada 20 Oktober lalu kira-kira pukul 1 pagi.
Kata beliau, pelajar tingkatan satu itu mendakwa ditarik seorang lelaki yang juga sukarelawan pusat jagaan itu ke sebuah bilik butik.
“Ketika berada di bilik itu, suspek bertindak mencabul dan cuba merogol mangsa. Namun, kejadian disedari rakan suspek yang bertindak menghalang tindakan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mohd Azam berkata, kes kedua berlaku pada 22 Oktober lalu kira-kira pukul 4 petang, membabitkan pelajar perempuan tingkatan dua yang mendakwa dimarahi seorang penjaga pusat jagaan yang juga lelaki warga asing ketika berada di dalam bilik.
Beliau berkata, mangsa memberitahu dipukul suspek menggunakan kayu di bahagian paha selain turut ditampar.
“Mangsa mendakwa dipukul kerana menggunakan telefon bimbit di dalam bilik,” jelasnya
Bertindak atas laporan itu, katanya, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan kedua-dua suspek berusia 27 tahun pada 5 petang semalam.
Kata beliau, semakan mendapati suspek pertama tidak mempunyai rekod lampau manakala suspek kedua mempunyai satu rekod jenayah lampau.
“Pemeriksaan pegawai perubatan Hospital Ampang mendapati mangsa yang dipukul ada kesan lebam di bahagian paha dan betis kiri serta kesan bengkak di pipi kiri manakala mangsa kedua tiada kesan kecederaan,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 2 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.-UTUSAN










