Pengusaha inap desa, restoran main peranan besar jayakan TMP 2024/2025 - Utusan Malaysia

Pengusaha inap desa, restoran main peranan besar jayakan TMP 2024/2025

MOHD. Shukri Ramli (sebelas dari kanan) bergambar bersama pengusaha inap desa dan restoran sewaktu Majlis Libat Urus Menteri Besar Bersama Pengusaha Rumah Sewa Pelancongan (Homestay) dan Pengusaha Restoran Negeri Perlis di Dewan Warisan, Kangar, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pengusaha inap desa dan restoran di negeri ini memainkan peranan penting dalam membantu menjayakan penganjuran Tahun Melawat Perlis 2024/2025 (TMP 2024/2025).

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, pihak terlibat seharusnya memberi layanan terbaik kepada pelancong luar dan tidak terlalu terburu-buru dalam meraih keuntungan dengan menetapkan harga tidak sewajarnya.

Beliau berkata, sekiranya pelancong luar berpuas hati dengan layanan diberikan di negeri ini, mereka akan bercerita tentang kelebihan terdapat di Perlis kepada pihak lain dan menjadi buah mulut masyarakat sepanjang masa.

“Tumpuan utama kerajaan negeri menerusi penganjuran TMP 2024/2025 ini adalah bagi memastikan pelancong berpuas hati dengan lokasi percutian dan layanan istimewa daripada seluruh rakyat Perlis.

“Oleh itu rakyat perlu terlibat secara langsung dalam TMP 2024/2025 dengan memastikan negeri ini bersih, makanannya sedap dan tempat penginapan memuaskan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Libat Urus Menteri Besar Bersama Pengusaha Rumah Sewa Pelancongan (Homestay) dan Pengusaha Restoran di Perlis di Dewan Warisan, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Wan Badariah Wan Saad dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

Menerusi penganjuran TMP 2024/2025, kerajaan negeri mensasarkan kehadiran seramai 2.8 juta pengunjung ke Perlis yang bakal mengetengahkan pelbagai produk-produk pelancongan di sini.

Antara tarikan dan kekuatan terdapat di Perlis berbanding negeri-negeri lain adalah meliputi sektor ekopelancongan dan agropelancongan.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, kerajaan negeri juga sedang giat menambah baik beberapa fasiliti pelancongan di negeri ini bagi memberi keselesaan buat pengunjung yang bakal melancong ke Perlis.

“Umpamanya seperti di Kuala Perlis, kita merancang untuk menambah lampu-lampu, membina ruang parkir dan sebagainya dalam tempoh beberapa bulan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata, terdapat juga inap-inap desa di negeri ini telah berdaftar sebagai persediaan mereka bagi penganjuran TMP 2024/2025 tidak lama lagi.

Katanya, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) juga akan memainkan peranan dalam memastikan wujudnya hubungan antara pengusaha tempat makan dan penginapan di negeri ini bagi menjayakan TMP 2024/2025.

“Di pihak kerajaan negeri, kita menjadi pemudah cara bagi memastikan pengusaha inap desa dan restoran di negeri ini dapat bersedia menjelang TMP 2024/2025 tidak lama lagi,” katanya.-UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.