MELAKA: Walaupun berlangsung dalam skala kecil, Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) 2023 tetap berjaya menggamit perhatian setiap pengunjung yang datang.
Dianggap sebagai Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) mini, karnival yang berlangsung selama tiga hari sehingga hari ini (Ahad) menghimpunkan 41 jenis pesawat, helikopter dan dron daripada pelbagai agensi, persatuan serta syarikat termasuk dari luar negara.
Pengunjung dari Batu Pahat, Johor, Azraaie Mohd. Noor, 48, berkata, dia sanggup datang dari jauh semata-mata untuk melihat pelbagai jenis pesawat dengan lebih dekat.
“Saya mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk membawa ahli keluarga ke KUAM 2023. Antara aktiviti yang menarik adalah pertunjukan akrobatik yang dilakukan sendiri bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Perasaan saya sentiasa berdebar setiap kali juruterbang melakukan aksi berbahaya tetapi pada masa sama sangat mengujakan. Sebenarnya saya dan keluarga pernah menghadiri LIMA di Langkawi, Kedah, jadi karnival udara mini ini tidak mengecewakan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam di sini.
Sementara itu, pengunjung, Khairunnisa Azmi, 21, berkata, dia yang berasal dari Masjid Tanah dekat sini tidak mahu ketinggalan melihat dan menaiki sendiri helikopter yang dimiliki pelbagai agensi kerajaan.
Menurutnya, pengalaman diperoleh sangat berharga kerana fungsi setiap aset negara itu diterangkan dengan jelas oleh pegawai bertugas.
“Walaupun saya orang Melaka, ini kali pertama saya datang ke KUAM. Kita boleh naik dan merasai sendiri pengalaman berada dalam helikopter. Penerangan pegawai bertugas juga sangat jelas dan membantu saya memahami bagaimana aset-aset ini digerakkan untuk berkhidmat,” katanya.-UTUSAN