Pengundi Pelangai kena pilih mahu jadi kawasan kerajaan atau pembangkang - Utusan Malaysia

Pengundi Pelangai kena pilih mahu jadi kawasan kerajaan atau pembangkang

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Pembangunan Pelangai akan jauh lebih teruk sekiranya pembangkang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu sejak dahulu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pembangkang kini hilang modal apabila mendakwa pembangunan di Pelangai tidak sepadan dengan statusnya sebagai kawasan yang pernah diwakili oleh seorang Menteri Besar Pahang selama lapan penggal.

Katanya, justeru pengundi Pelangai perlu membuat pilihan sama ada ingin menjadi kawasan dimenangi kerajaan atau pembangkang yang tiada pembangunan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung pada Sabtu ini.

“Kalau (pimpinan wakil rakyat) kerajaan, di kawasan luar bandar selama lapan penggal begini keadaannya, maka kalau pembangkang yang pimpin 80 penggal lagilah tiada (pembangunan) dan keadaanya lebih teruk.

“Pembangkang tak boleh lakukan apa-apa pun untuk membangunkan dan menambah kemajuan di Pelangai. Itu fakta yang perlu diterima rakyat. Jadi penting memastikan kesinambungan wakil rakyat Pelangai daripada BN yang akan menambah dan meningkatkan lagi pembangunan di sini,” katanya ditemui pada Program Sembang Santai Perpaduan di Kampung Hayat, di sini semalam.

Sebelum ini calon Perikatan Nasional (PN) Pelangai, Kasim Samat menyifatkan penduduk Pelangai itu sepatutnya menikmati perubahan pembangunan yang lebih besar sejak kepimpinan Tan Sri Adnan Yaakob lagi.

Adnan yang juga bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang telah berkhidmat selama 36 tahun sebagai ADUN Pelangai dan 19 tahun sebagai Menteri Besar Pahang.

Mengulas lanjut Ahmad berkata, beliau yakin kepimpinan yang berbeza bagi negeri Pahang dan DUN Pelangai ini khususnya bakal memberi impak berbeza bagi pembangunan di Pelangai.

“Tentulah di bawah pimpinan baharu iaitu Menteri Besar (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) dan ADUN yang berbeza, tentu caranya berbeza sebab mereka bukan orang yang sama,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN