Pengakap perkenal seragam baharu selepas 115 tahun - Utusan Malaysia

Pengakap perkenal seragam baharu selepas 115 tahun

SEBAHAGIAN peserta yang menyertai Jota-joti Kebangsaan 2023 di Kem Pengakap Datuk Tambichik Karim, Pengkalan Balak, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) buat pertama kali selepas 115 tahun penubuhannya akan memperkenal pakaian seragam baharu untuk digunakan 600,000 ahli mulai tahun depan.

Naib Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara, Datuk Zamani Tambichek berkata, pakaian seragam itu lebih menarik dan efektif dengan reka bentuk baharu termasuk warnanya.

Menurutnya, keputusan menukar pakaian seragam mengambil tempoh selama setahun sembilan bulan sebelum diluluskan di peringkat tertinggi persatuan.

Katanya, ia bakal dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Disember ini.

“Idea ini timbul kerana kita merujuk kepada pasukan beruniform seperti tentera, polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang sudah bertukar pakaian seragam sebanyak tiga kali. Tetapi pengakap usia penubuhannya sudah mencecah 115 tahun, sekalipun kita tidak pernah tukar uniform, alhamdulillah kali ini atas persetujuan semua pihak buat pertama kalinya, seluruh ahli menggunakannya Januari tahun depan.

“Dulu kita pakai baju pengakap yang sedia ada ketika ini, tetapi dari seluar pendek kita tukar ke seluar panjang. Selepas itu tidak ada uniform baharu diperkenalkan,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutupan Jota-joti Kebangsaan 2023 di Kem Pengakap Datuk Tambichik Karim, Pengkalan Balak di sini hari ini.

Tambah Zamani, skaf digunakan ketika ini juga akan ditukar warna kerana ia serupa dengan yang dipakai pengakap di United Kingdom (UK).

Menurutnya, PPM akan memberi kelonggaran selama setahun kepada ahli untuk menggantikan pakaian seragam lama kepada yang baharu.

Sementara itu berkenaan Jota-joti Kebangsaan, katanya, ia diteruskan setiap tahun kerana menjadi platform kepada ahli untuk membentuk sahsiah dan jati diri.

“Itu adalah selaras dengan visi PPM untuk menjadi pertubuhan pendidikan golongan muda terunggul, moden, berdikari yang akan melatih golongan muda negara menjadi warganegara aktif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya