EU perlu lebih tegas terhadap Israel - bekas Ketua Dasar Luar EU - Utusan Malaysia

EU perlu lebih tegas terhadap Israel – bekas Ketua Dasar Luar EU

SEORANG lelaki mendukung kanak-kanak yang cedera dalam serangan Israel di kejiranan Saftawi, barat Jabalia, di Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kesatuan Eropah (EU) perlu mengambil pendirian yang lebih tegas terhadap Israel susulan pelanggaran undang-undang antarabangsa di Gaza, kata bekas Ketua Dasar Luar EU, Josep Borrell.

Menurut laporan The Guardian, Borrell menyatakan dalam artikel yang diterbitkan oleh Foreign Affairs bahawa EU mempunyai tanggungjawab untuk campur tangan dalam bencana kemanusiaan yang sedang berlaku di wilayah Palestin itu.

Beliau menegaskan, Eropah tidak boleh terus bergantung kepada Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan perang sebaliknya perlu melancarkan rancangan tersendiri bagi menangani krisis tersebut.

Artikel itu turut ditulis bersama oleh Kalypso Nicolaidis, seorang ahli akademik Perancis-Yunani yang pernah menjadi penasihat kepada EU.

“Eropah tidak lagi mampu untuk hanya menjadi pemerhati. EU memerlukan satu pelan bersama. Bukan sahaja keselamatan Eropah kini terancam, malah sejarah Eropah sendiri menuntut rakyatnya untuk bertindak balas terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel.

“Orang Eropah tidak boleh terus menjadi ‘watak bodoh’ dalam tragedi ini, memberi dana tanpa menyedari apa yang sedang berlaku,” tambah mereka lagi.

Pengganti Borrell, Kaja Kallas minggu lalu turut mengakui bahawa Israel secara jelas telah melanggar komitmen hak asasi manusia sepanjang kempen ketenteraannya di Gaza.

Namun beliau berkata, persoalan utama yang masih belum terjawab ialah apakah tindakan konkrit yang mampu disepakati bersama oleh negara-negara anggota EU.

Bulan lalu, 17 negara anggota EU telah mengambil langkah memulakan semakan terhadap Perjanjian Persatuan EU-Israel sebagai protes terhadap sekatan Israel ke atas bantuan kemanusiaan ke Gaza merangkumi aspek perdagangan dan kerjasama lain.

Pada bulan yang sama, Borrell menuduh Tel Aviv sedang melaksanakan operasi pembersihan etnik terbesar sejak tamatnya Perang Dunia Kedua.

Reaksi EU yang kelihatan tidak konsisten terhadap krisis kemanusiaan di Gaza boleh dijelaskan oleh keengganan beberapa negara utama seperti Jerman, Austria dan Hungary untuk mengenakan tekanan terhadap Israel kebanyakannya disebabkan sejarah Perang Dunia Kedua dan sensitiviti politik domestik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×