PETALING JAYA: Pengacara popular awal era 2000, Helmi Gimmick berpendapat generasi baharu dalam bidang pengacaraan malas dan tidak mahu menggali ilmu dengan lebih dalam untuk mempelbagaikan teknik mengendali program atau acara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Helmi, 63, berkata, sebagai seorang pengacara, sikap profesional, menghormati tuan rumah dan bijak melontarkan kata adalah kriteria utama bergelar hos yang baik dan tidak biadab.
“Banyak sudah orang cakap pengacara sekarang suka cakap lepas, kurang sopan. Itu kerana mereka tidak ada pengetahuan nak gurau apa. Apa yang mereka lihat ketika itu, dia jadikan guaruan dan bahan jenaka.
“Jangan malas. Kena banyak membaca, gali ilmu. Kita kena tahu, itu acara apa, siapa audiens. Itu kan rezeki, kalau tak tahu buatlah kajian. Profesional itu tidak akan berubah pun mengikut zaman.
“Di mana kita berpijak, di situ ilmu dan adab kita junjung. Mungkin pengacara sekarang sudah biasa bersuap. Skrip disiapkan, sudah begitu acuannya. Kami dulu mana ada, semua kena buat sendiri,”ujarnya.
Diaju soalan adakah kerana itu, dia dikatakan merajuk dengan dunia seni sehingga memilih untuk bekerja tanpa limpahan lampu populariti, pengacara Famili Ceria itu menggelengkan kepala.
“Bukan merajuk dengan dunia seni pun, cuma bagi saya sistem yang ada itu tidak sepatutnya menzalimi atau membuatkan seseorang teraniaya. Nak panggil buat persembahan, bayar RM500.
“Alasan, kami bagi publisiti meluas. Zaman sekarang, publisiti meluas macam mana? Kiri kanan media sosial. Berilah bayaran setimpal dengan usaha, bukan sekadar gunakan nama kami,”ujarnya.