Penduduk tuntut janji sedia bekalan air bersih

Penduduk tuntut janji sedia bekalan air bersih

JAILANI Rahim membawa anaknya mandi di Sungai Sembrong, Kluang Selangor bagi menjimatkan penggunaan air bersih yang dibekalkan secara berkala oleh Ranhill SAJ.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Kira-kira 220 penduduk Kampung Orang Asli Sedohok, dekat sini menuntut pihak berkaitan menunaikan janji menyediakan bekalan air bersih ke kampung tersebut.

Menurut mereka, hampir 10 tahun dijanjikan menerima bekalan air bersih, namun sehingga kini masih terpaksa menggunakan perigi atau sungai untuk membersihkan diri bagi menjimatkan air bersih yang dibekalkan secara berkala menggunakan lori tangki.

Walaupun jarak antara jalan utama ke kampung berkenaan hanya kira-kira tujuh kilometer, kerja-kerja pemasangan paip terus menjadi tanda tanya bila akan dimulakan.

Seorang penduduk, Jailani Rahim, 39, berkata, walaupun menerima air bersih yang dihantar Ranhill SAJ tiga kali seminggu, bekalan itu hanya boleh digunakan untuk keperluan memasak kerana bimbang tidak mencukupi sementara menunggu tambahan air dihantar.

“Kami tidak tahu di mana salah dan silapnya kerana pemasangan yang hanya memerlukan masa beberapa bulan itu senyap tanpa diketahui penghujungnya masalah ini.

“Apa yang kami difahamkan, projek bekalan air bersih diusahakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang, R.Vidyananthan ini sudah pun diluluskan sebelum tahun 2018.

“Namun, kerja-kerja pemasangan paip utama yang menjadi masalah sehingga menyebabkan projek ini ‘tersangkut’ serta belum menjadi kenyataan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, apa yang dapat dilakukan oleh 220 penduduk kampung adalah menjadikan sungai atau perigi sebagai alternatif tambahan bekalan air untuk mandi serta membasuh pakaian.

“Kami amat berharap masalah ini dapat diselesaikan segera bagi membolehkan penduduk mendapatkan kemudahan sewajarnya seperti orang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×