MARANG: Penduduk di Taman Tok Sadah, Kampung Cerang Cina dekat Wakaf Tapai di sini terpaksa mengeluarkan duit sendiri hingga RM10,000 bagi menaik taraf dan membaiki kerosakan jalan hampir satu kilometer merupakan laluan utama menjejaskan kehidupan seharian mereka sejak tujuh tahun lalu.
Merela juga merayu pihak berwajib menaik taraf jalan di kawasan perumahan itu bagi keselesaan dan keselamatan mereka.
Seorang penduduk, Zulkifli Saad, 60, berkata, dalam tempoh itu, penduduk terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri selepas aduan demi aduan kepada pihak berkenaan seperti tidak diendahkan.
Katanya, setiap kali musim panas atau kemarau, kira-kira 50 penduduk di situ berhadapan dengan debu yang membahayakan kesihatan terutama kanak-kanak dan warga emas.
“Memburukkan lagi keadaan, jalan menjadi berlumpur ketika musim hujan sehingga menyebabkan air lumpur mengalir ke kawasan rendah dan memasuki kediaman penduduk.
“Malah ada kenderaan yang rosak akibat masalah itu namun kami tidak ada pilihan lain kerana ini merupakan laluan utama keluar masuk ke Jalan Kuala Berang-Kuala Terengganu.
“Permohonan penurapan jalan mula dibuat tahun ketiga menetap di sini dan kali terakhir pada Julai lalu malangnya tiada maklum balas dari pihak berwajib,” ujarnya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurut seorang lagi penduduk, Norasiah Mohd. Dom, 50, mereka turut diancam risiko tanah runtuh dari bukit setinggi lebih lima meter yang terletak berhampiran laluan berkenaan.
Katanya, situasi itu sering menghantui penduduk terutama dalam musim tengkujuh menyebabkan ramai yang bimbang akan keselamatan diri dan keluarga setiap kali melaluinya.
“Nasib kami bagaikan tiada siapa yang bela sehingga penduduk terpaksa membuat inisiatif sendiri bergotong-royong dan menambak batu di sepanjang laluan demi keselesaan sendiri.
“Penduduk juga risau sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini jadi kami sangat berharap pihak berwajib menaiktaraf laluan ini dengan kadar segera sebelum musim tengkujuh tiba,” katanya. –UTUSAN











