MELAKA: Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) perlu diwujudkan segera bagi menangani isu kartel beras yang menyebabkan kekurangan beras tempatan di pasaran ketika ini.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, ini kerana fokus dan kawalan terhadap komoditi negara itu akan lebih baik di bawah LPN.
Kata beliau, isu yang berlaku ketika ini adalah kerana kelompongan dalam mengawal selia padi dan beras berikutan pemansuhan LPN pada 1996.
“Saya minta kaji dan mohon agar diwujudkan semula LPN. Hari ini nampak seakan-akan loose cannon sedikit (tidak dapat dikawal).
“Jadi apabila ada LPN kita akan fokus bagaimana hendak kawal beras dan padi. Sudah tiba masanya kita buat sendiri (LPN) yang dikendalikan oleh kerajaan sebab ini melibatkan barang asas.
“Ada orang kata ini (tindakan) kapitalis atau macam komunis tetapi kita (sebenarnya) hendak mempertahankan hak rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Pemantauan Kawasan Tangkapan Ikan Perairan Melaka Tengah di sini, hari ini.
Tambah Muhamad Akmal yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, beliau menyambut baik sekiranya Padiberas Nasional Berhad (Bernas) mahu mewujudkan semula kilang-kilang beras miliknya.
Menurutnya, beliau memperoleh maklumat terdapat kilang yang menurunkan harga padi yang dibeli daripada pesawah semata-mata untuk menikmati keuntungan tinggi.
“Sebelum ini padi dibeli pada harga RM1,350 per tan dan saya difahamkan harga padi telah turun antara RM1,200 hingga RM1,000 per tan. Saya percaya kilang-kilang ini masih untung tetapi dengan margin yang rendah.
“Bagi saya adalah tidak adil kepada pesawah yang membanting tulang. Kerajaan perlu menilai dan meneliti perkara ini jangan bagi keuntungan yang besar kepada kartel,” ujarnya. – UTUSAN