NEW YORK: Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amir-Saeid Iravani, menegaskan pengayaan uranium Iran tidak akan dihentikan kerana ia merupakan hak sah negara itu di bawah perjanjian Perjanjian Tidak Penyebaran Senjata Nuklear (NPT) bagi tujuan tenaga aman.
“Pengayaan ini adalah hak kami, hak yang tidak boleh dinafikan, dan kami bertekad untuk melaksanakannya,” kata beliau dalam wawancara bersama CBS News.
Iravani turut menyatakan Teheran bersedia untuk berunding, namun menolak pendekatan yang disifatkan sebagai penyerahan tanpa syarat oleh Amerika Syarikat (AS).
“Penyerahan tanpa syarat bukan satu bentuk rundingan, ia adalah pemaksaan dasar ke atas kami,” katanya.
Beliau mengakui serangan ketenteraan yang berlaku baru-baru ini mewujudkan suasana yang tidak sesuai untuk sebarang pusingan rundingan baharu, sambil menegaskan tiada permintaan rasmi untuk bertemu Presiden AS setakat ini.
Iravani juga menafikan dakwaan kerajaan Iran mengancam keselamatan Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi, serta para pemeriksa IAEA yang menurut beberapa pegawai Iran telah membantu Israel mencari justifikasi untuk menyerang.
Ketika ditanya sama ada beliau akan mengecam gesaan hukuman ke atas Grossi yang dilaporkan dibuat oleh akhbar pro-pemimpin Iran, Iravani menjawab: “Tiada sebarang ancaman,” namun mengakui kerjasama dengan IAEA telah digantung oleh Parlimen Iran.
“Pemeriksa itu berada di Iran dalam keadaan selamat, namun aktiviti mereka telah digantung. Mereka tidak boleh mengakses tapak kami dan kami menilai mereka tidak menjalankan tugas mereka,” katanya.
Iravani mendedahkan Iran bersedia memindahkan stok uranium yang telah diperkaya ke negara lain sekiranya satu perjanjian nuklear dengan AS dapat dicapai termasuk uranium 20 peratus dan 60 peratus, walaupun bahan tersebut boleh disimpan di Iran di bawah pemantauan IAEA.
Namun, beliau menegaskan Teheran tidak akan sesekali menyerahkan hak untuk menghasilkan uranium di dalam negara, iaitu satu syarat yang ditolak keras oleh Washington.
Kenyataan Iravani dibuat ketika kuasa-kuasa Barat, termasuk Amerika Syarikat mendesak Iran kembali ke meja rundingan selepas serangan udara AS ke atas tiga kemudahan Iran minggu lalu yang mencetuskan perdebatan sama ada serangan itu benar-benar memusnahkan sepenuhnya program nuklear Iran seperti yang didakwa Donald Trump, atau sekadar menangguhkannya.-AGENSI









